Dunia
Advertisements

CIMB Liga Super 2020 telah membuka tirainya pada Jumaat lalu dengan Johor Darul Ta’zim muncul juara Piala Sumbangsih 2020. Perak, Melaka United dan Selangor juga berjaya mencuri 3 mata penuh untuk dibawa pulang.

Pemain tumpuan minggu pertama CIMB Liga Super 2020 sudah semestinya terarah kepada Brendan Gan dan Guilherme de Paula. Mereka berjaya membantu pasukan masing-masing menerusi 2 sumbangan utama sepanjang perlawanan.

Oleh itu, penulis telah memilih 11 pemain terbaik pada minggu pertama CIMB Liga Super 2020 dengan menggunakan formasi 4-4-2. Mari kita lihat siapakah 11 pemain terbaik tersebut.

Advertisements

Penjaga Gol : Farizal Marlias (Johor Darul Ta’zim)

Penjaga gol berusia 34 tahun ini bersaing hebat dengan Rahadiazli (Terengganu) dan Khairulazhan (Selangor). Namun, Farizal muncul lebih dominan berbanding kedua-dua penjaga gol tersebut.

Menurut statistik StadiumAstro, Farizal berjaya menyelamatkan 3/3 percubaan tepat Kedah sekaligus mencatatkan nirbolos pertama liga. Rahadiazli pula menyelamatkan 5/8 percubaan tepat Perak (62.5%) manakala Khairulazhan menyelamatkan 4/5 percubaan Pahang (80%).

Bek Tengah : Mauricio Dos Santos (Johor Darul Ta’zim)

Mauricio berjaya memastikan gawang Johor DT kekal kosong tanpa bola menerusi kawalan ketatnya ke atas duo penyerang Kedah; Kpah Sherman dan Kipre Tchetche. Pendek kata, Mauricio memudahkan tugas Farizal pada malam tersebut.

Advertisements

Bukan sahaja mencatatkan nirbolos, Mauricio juga berjaya mencatatkan jaringan sulung perlawanan. Mauricio juga dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan Piala Sumbangsih 2020.

Bek Tengah : Shahrul Saad (Perak)

Kapten Perak, Shahrul Saad menampilkan aksi luar biasa sepanjang perlawanan dalam mengawal Dominique Da Sylva bersama-sama Antony Golec. Biarpun bolos, Shahrul Saad berjaya mengemudi bahagian pertahanan Perak dengan baik.

Shahrul Saad juga membantu bahagian serangan sejak awal lagi bermula dengan sepakan percumanya yang terkena tiang gawang Rahadiazli. Shahrul Saad berjaya mencetak jaringan pendahuluan buat Perak ketika menentang Terengganu.

Advertisements

Bek Kiri : Azmeer Yusof (Kedah)

Azmeer Yusof menjadi salah seorang pemain yang wajar dipuji sepanjang perlawanan. Azmeer Yusof berjaya mematikan banyak ancaman di bahagian kiri padang terutama daripada penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim dan Malaysia, Safawi Rasid.

Bek Kanan : Matthew Davies (Johor Darul Ta’zim)

Sama seperti Azmeer Yusof, Matthew Davies memainkan peranan penting dalam memastikan gawang Farizal kekal nirbolos. Menariknya, Matthew Davies berjaya menghalang peluang terhidang Kipre Tchetche yang sudah menewaskan Farizal Marlias.

Pemain Tengah : Brendan Gan (Selangor)

Debut Liga Supernya bersama Selangor akan menjadi perlawanan paling diingati bukan sahaja buat dirinya malahan para peminat Merah Kuning. Brendan Gan muncul wira Selangor dalam mencuri 3 mata penuh di Kuantan menerusi jaringan saat akhir pada minit ke-88.

Advertisements

Brendan Gan juga terlibat dalam menghasilkan jaringan penyamaan Selangor menerusi Ifedayo Omosuyi yang merembat deras hantaran lambungnya melepasi pertahanan Pahang. Malam gemilang buat Brendan Gan!

89030338 3531508180254981 6115176866996289536 o CIMB Liga Super 2020 'Best XI' Pilihan Editor MakanBola : Minggu 1
Brendan Gan meraikan jaringan saat akhir Selangor dan jaringan pertamanya bersama Selangor

Pemain Tengah : Sanjar Shaakhmedov (Terengganu FC)

Malang buat Terengganu apabila mereka gagal mempertahankan jaringan pendahuluan yang dijaringkan Sanjar. Sanjar beraksi baik sepanjang perlawanan di hadapan Lee Tuck dan Nasir Basharuddin namun gagal membantu Terengganu muncul pemenang di Gong Badak.

Sayap Kiri : Gonzalo Cabrera (Johor Darul Ta’zim)

Gonzalo Cabrera, individu yang bertanggungjawab dalam penghasilan jaringan sulung Piala Sumbangsih 2020. ‘Si Kuda Tari’ Johor Darul Ta’zim ini menjadi komponen paling penting dalam setiap gerakan serangan mereka.

Sayap Kanan : Baddrol Bakhtiar (Kedah)

Biarpun Kedah tidak berjaya menjaringkan sebarang gol, peranan kapten Kedah ini tidak dapat disangkal lagi. Baddrol berjaya menghasilkan 5 gerakan yang berakhir dengan percubaan tepat mahupun tidak tepat.

Penyerang : Kpah Sherman (Kedah)

Pemain skuad kebangsaan Liberia ini menjadi ‘duri dalam daging’ buat pertahanan Johor Darul Ta’zim. Bukan sahaja kerap menghasilkan percubaan ke arah Farizal, Kpah juga banyak melakukan hantaran lintang dan menarik pertahanan keluar daripada zon mereka.

Penyerang : Guilherme de Paula (Perak)

Penyerang berusia 34 tahun ini membuktikan dirinya masih seorang penyerang digeruni di Liga Malaysia. 2 gol berjaya dijaringkan de Paula meletakkan dirinya sebagai pencabar anugerah penjaring terbanyak liga musim ini.

Beberapa saat sebelum Guilherme de Paula menjaringkan gol ke-3 Perak

Rumusan

Itulah 11 pemain terbaik CIMB Liga Super 2020 minggu pertama pilihan penulis. Para pemain dipilih mengambilkira sumbangan, ‘rating’ pasukan lawan dan tahap intensiti perlawanan.

Penyerang Perak, Guilherme de Paula dipilih sebagai pemain terbaik CIMB Liga Super 2020 minggu pertama. Perlawanan terbaik minggu ini pula ialah Pahang menentang Selangor.

Kredit Foto & Statistik : SemuanyaBOLA, StadiumAstro, FA Selangor, Perak TBG

*Penafian : Pendapat ini ditulis oleh editor MakanBola, Meor Mohamad Amirul dan bukannya sebagai MakanBola sebagai sebuah entiti. Sebarang komen atau pendapat susulan juga tidak mewakili MakanBola.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram