Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo mengotakan janjinya untuk mencetus sensasi di internet apabila dilaporkan bergabung dengan personaliti YouTube terkenal, MrBeast.
Sebelum ini, bekas penyerang Manchester United itu memaklumkan projek terbarunya bakal mencipta sensasi di internet. Walau bagaimanapun, Ronaldo tidak menyatakan apa projek yang dirancang untuk saluran YouTube miliknya.
Kini, akaun X Total Cristiano mendedahkan satu gambar yang dikaburkan dipercayai Ronaldo, pasangannya Georgina Rodriguez dan MrBeast.
Meskipun gambar pemilik nama sebenar Jimmy Donaldson itu cuba dikaburkan, ramai peminat sudah mengagak beliau bakal berkolaborasi dengan Ronaldo.
MrBeast dianggap raja saluran YouTube kerana memiliki pengikut lebih 330 juta orang. Malah, video terbarunya berupaya menarik tontonan sebanyak 97 juta kali.
Kolaborasi ini membuatkan ramai peminat kedua-dua figura ini teruja. Ini kerana ramai peminat bola sepak percaya bilangan pengikut YouTube Ronaldo dijangka bertambah menerusi usaha sama ini.
Selepas membuka saluran YouTube rasminya pada 21 Ogos lalu, beliau kini memiliki 67 juta pengikut di saluran berkenaan.
Ronaldo masih segar daripada kejayaan membantu Portugal layak ke suku akhir Liga Negara-Negara UEFA (UNL) 2024/25. Matlamat itu tercapai dengan membelasah Poland 5-1.