Penyokong BG Pathum tidak kering gusi di Stadium BG semalam gara-gara tindakan pemain Trat ke atas pemain tengah mereka, Freddy Alvarez.
Pada minit ke-76, pemain tengah Costa Rica itu berjaya mengawal bola walaupun dihambat dua pemain Trat.
Dengan Alvarez terus mengekalkan kawalan bola, ini mendorong pemain gantian Trat, Sarawut Thongkot yang mengejarnya melakukan sesuatu yang luar biasa.
Sarawut memilih cuba menarik seluar bekas pemain tengah KF Shkupi itu dari belakang dengan harapan mendapatkan bola semula.
Bagaimanapun, taktik tersebut dikesan oleh pengadil dengan faul dianugerahkan kepada BG Pathum. Sementara Alvarez pula hanya ketawa bila mengenangkan insiden tersebut.
Insiden ini buat penyokong kedua-dua pasukan ceria dengan BG Pathum meraih kemenangan 3-0 pada akhir perlawanan.
Dengan kawalan bola yang kemas, tidak hairanlah Sofascore memberi markah 7.7 kepada Alvarez kerana menampilkan prestasi hebat di atas padang.
Selepas ini, BG Pathum bakal melayan kunjungan Kawasaki Frontale untuk aksi ketiga ACL Kumpulan I pada 24 Oktober ini.