Jaguh motosikal negara, Azlan Shah Kamaruzaman mengingatkan peminat dunia permotoran bahawa persaingan antara dirinya dengan Hafizh Syahrin Abdullah hanya di atas trek.
Ingatan ini dibuat Azlan selepas melihat komen negatif yang cuba melaga-lagakan dirinya dengan Hafizh di media sosial pada pusingan pertama Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 kategori Asian Superbike 1000cc (ASB1000) di Buriram, Thailand.
Beliau yang mewakili TKKR Racing Team bersaing hebat dengan Hafizh yang mewakili JDT Racing Team dalam kedua-dua perlumbaan kategori berkenaan.
Meskipun kedua-duanya merupakan pesaing di atas litar, hubungan silaturahim yang terjalin erat antara mereka kekal utuh sehingga hari ini.
Atas sebab itu, Azlan meminta peminat agar tidak bersikap negatif dan menghormati persaingan sihat antara semua pelumba termasuk membabitkan dirinya dan Hafizh.
“Semua, kita ini bersukan secara sihat dan aman. Tiada kebencian dan tiada apa-apa masalah. Dalam trek, kita lawan. Luar trek, kita kawan.
“Jadi, peminat permotoran Malaysia, tolonglah jangan laga-lagakan pelumba-pelumba Malaysia. Ingat itu, kita bawa satu bendera,” katanya menerusi akaun TikTok as25academy.
Azlan membuka kempen ARRC 2024 kategori ASB1000 dengan memenangi perlumbaan pertama dan menamatkan perlumbaan kedua dalam kedudukan lima teratas.