Kisah penjaga gol utama Cape Verde, Vozinha antara kisah utama Piala Dunia yang mengagumkan ramai pihak termasuk legenda Argentina, Lionel Messi.
Tidak ramai tahu nama sebenar beliau, Josimar Dias diambil sempena nama legenda Brazil, Josimar. G1 Globo melaporkan nama Vozinha yang digunakan hari ini sebenarnya nama panggilan semasa kecil akibat dibuli oleh kanak-kanak yang lebih besar daripadanya.
Semasa beraksi di Angola, terdapat seorang lagi pemain yang menggunakan nama Josimar. Lantas, beliau menggunakan nama Vozinha untuk kegunaan rasmi kelab dan nama itu kekal sehingga hari ini.
Sebelum namanya dikenali ramai, beliau pernah bekerja sebagai pemandu bas dan juruelektrik. Nak jadi pemain profesional, itu hanyalah impian yang dikejar selepas tamat waktu bekerja.
Apabila Vozinha merealisasikan impiannya sebagai pemain profesional pada usia 25 tahun, usia itu dianggap lewat. Ini kerana usia tersebut dilihat usia di mana para pemain mula meniti kemuncak karier masing-masing.
Pilihan karier kelab juga tidak begitu glamor. Angola, Nigeria, Moldova, Cyprus, Slovakia, dan kelab divisyen dua Portugal, GD Chaves. Isu ketinggian juga mendorong beberapa kelab menolak Vozinha.
Namun begitu, itu langsung tidak mematahkan semangat beliau. Pentas Piala Dunia 2026Vo menjadi saksi Vozinha dan Cape Verde menyerlah dengan Sepanyol tergamam diikat tanpa jaringan.
Lebih menarik, tujuh percubaan jentera serangan La Roja berjaya diselamatkan beliau. Ini disusuli Uruguay dan Arab Saudi – ini menjadikan Vozinha setaraf dengan penjaga gol legenda dunia seperti Dino Zoff dan Peter Shilton.
Ujian sebenar Cape Verde – juara bertahan, Argentina di pusingan 32 pasukan terbaik. Meskipun berstatus pasukan bukan pilihan, Cape Verde membuatkan La Albiceleste cemas sebelum tewas 3-2 pada masa tambahan.

Usaha mereka turut dibantu dengan kecekapan Vozinha mengawal gawang sepanjang perlawanan. Lapan percubaan berjaya diselamatkan beliau, empat daripadanya dicipta oleh Messi.
Selepas wisel penamat, Vozinha mendekati Messi yang juga idola beliau sejak dari dulu lagi. Apa yang berlaku seterusnya kekal terpahat dalam hatinya.
“Beliau memeluk saya dan berkata, ‘Kamu hebat, rakyat kamu patut berbangga dengan kamu,'” katanya selepas perlawanan.
“Mendengar kata-kata seperti itu daripada seseorang seperti Leo Messi sangat bermakna buat saya. Detik seperti ini akan terpahat dalam hati selama-lamanya.”
Vozinha turut meminta untuk bertukar jersi dan Messi berjanji memberikannya di terowong selepas selesai sesi temu bual bersama media.
Persembahan cemerlang beliau menyaksikan Vozinha kini memiliki 19.4 juta pengikut di Instagram – jauh meninggalkan beberapa pasukan terkemuka seperti Perancis, Argentina, England dan Sepanyol.
Meskipun kini berstatus ejen bebas, namanya mula diintai beberapa kelab. Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano melaporkan dua kelab Brazil, Avai dan Atlético Goianiense berminat mendapatkan khidmatnya.
Kisah Vozinha menunjukkan tiada yang mustahil dalam mengejar impian. Usia 40 tahun menunjukkan masih ada masa buat figura seperti beliau melakar babak seterusnya dalam kariernya.