Penyerang Sabah FC, Darren Lok berharap dapat meneruskan momentum cemerlang dalam Piala AFC bila menyertai kem latihan Harimau Malaya nanti.
Aksi hari ini menentang PSM Makassar menyaksikan Sabah membelasah lawan mereka lima gol tanpa balas. Dua gol daripadanya disumbang Darren pada minit keenam dan ke-46.
Biarpun Sabah kini selesa mendahului Kumpulan H selepas dua perlawanan, itu bukan lesen untuk mereka terlalu selesa.
Justeru, Darren berharap kecemerlangan hari ini diteruskan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya termasuk saingan Liga Malaysia (Liga M).
“Kita ikut rancangan perlawanan hari ini dan kita berjaya meraih kemenangan tetapi ini masih peringkat awal dalam pertandingan (Piala AFC).
“Kita tahu kita tidak boleh terbawa-bawa (dengan kemenangan ini). Kita tahu masih ada banyak perkara yang perlu dilakukan.
“Jadi, untuk kemenangan hari ini, kita akan menikmatinya malam ini. (Kita) akan fokus pada perlawanan-perlawanan seterusnya.
“Saya suka menjaringkan gol tetapi seperti saya katakan sebelum ini, selagi mana saya menyumbang kepada pasukan, selagi mana pasukan menang tak kira siapa yang jaringkan gol.
“Saya harap dapat terus (menjaringkan gol) bila bersama Malaysia,” katanya kepada MakanBola dalam sidang media pasca-perlawanan.
Darren kini sudah menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan terakhirnya. Ini termasuk empat gol daripada dua perlawanan Piala AFC.
Kecemerlangan bekas penyerang PJ City FC itu diharap dapat membantu Harimau Malaya menjulang gelaran juara Pestabola Merdeka yang bermula 13 Oktober.
Darren bakal menyertai 25 pemain untuk kem latihan Harimau Malaya dengan semua pemain berkumpul pada 6 Oktober ini.