Dua tonggak Harimau Malaya, Darren Lok dan Stuart Wilkin cukup teruja dengan jersi baharu Harimau Malaya keluaran Puma.
Jersi baharu pasukan Malaysia itu dilancarkan pada 23 Januari lalu. Pelancaran jersi ini merupakan permulaan kerjasama Puma dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selama empat tahun.
Sebaik jersi tersebut dilancarkan, jersi ini mendapat maklum balas positif penyokong di media sosial.
Kini, Darren dan Wilkin turut berkongsi pandangan sama apabila meneliti jersi baharu Harimau Malaya. Pemain tengah Sabah FC itu menyifatkan jersi tersebut bukan saja cantik.
Malah, Wilkin melihat fabrik yang digunakan untuk jersi tersebut baik dan ringan. “Bahan (fabrik kain) yang baik. Ringan, coraknya cantik dan lencananya pun dijahit,” katanya.
Bekas graduan akademi Southampton itu percaya jersi ini akan membantu Harimau Malaya beraksi dengan selesa di atas padang.
“Jersi ini akan memenuhi fungsinya (buat pemain-pemain). Sangat bagus,” tambah Wilkin lagi. Kedua-dua pemain ditemui selepas aksi Liga Super antara Sabah FC dan Negeri Sembilan FC di Paroi pada 25 Januari lalu.
Jersi berkenaan dijangka digunakan dalam aksi pertama pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027. Malaysia berada dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Laos dan Nepal.
Harimau Malaya bakal berdepan cabaran The Gorkhalis di Kathmandu, Nepal pada 25 Mac ini.