Kemenangan 3-2 Kedah ke atas Kelantan United mengembalikan semula semangat Kenari untuk saingan Liga Super. Dan bagi pemilik pasukan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, kekalahan bukan lagi satu pilihan yang patut diterima.
Dalam mesejnya kepada pasukan Kedah, semangat untuk memburu kemenangan harus ditanam setiap kali turun bermain. Kerana dari situlah, semangat juang yang tinggi mampu mengatasi semua ujian dalam mendapatkan tiga mata.
“Visi Sang Kenari bermula hari ini adalah “MENANG”. Dah banyak ups and downs Sang Kenari dah lalui. Kalah bukan lagi pilihan atau ujian. Misi menang setiap perlawanan – InsyaAllah – perlu ditanam setiap kali turun ke padang perlawanan. Berjuanglah sejiwa murni,” katanya dalam satu hantaran Facebook kelab hari ini.
Daud turut memohon maaf kepada para penyokong kerana tidak dapat hadir menonton perlawanan Kedah-Kuching City malam ini. Ini kerana beliau baru saja pulang dari luar negara atas urusan perniagaan.
Bagaimanapun, Daud mengharapkan para penyokong agar setia menyokong pasukan Kedah bagi memastikan pasukan pulang dengan tiga mata.
“Jom kita ramai-ramai turun ke stadium juga memberi sokongan kepada Sang Kenari. Kalau tak boleh, berilah sokongan dalam apa saja bentuk. Jangan lupa berdoa kepada Allah Yang Maha Berkuasa Atas Segala Sesuatu. Usaha dan doa tidak terpisah jua.
“Saya baru sahaja sampai dari Dubai dan Doha. Saya menyusun jari sepuluh memohon maaf sebab tak dapat hadir malam ini di Stadium Darul Aman. Saya akan sentiasa bersama anda semua – pemain dan penyokong Sang Kenari – dalam ingatan dan harapan,” tambahnya.