Kejutan telah berlaku dalam saingan Piala FA semalam dengan menyaksikan bagaimana pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dikejutkan Penang FC dengan keputusan 0-1. Kekalahan tersebut menandakan Kedah telah tersingkir seawal pusingan pertama Piala FA.
Bagi pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, beliau nyata kecewa dengan keputusan tersebut dan dalam masa yang sama menganggap kekalahan tersebut merupakan sesuatu yang tragis. Perkara tersebut telah dikongsikan di laman Facebook rasmi beliau.
“Harapan semua kepada Sang Kenari semalam amat tinggi. Ramai datang ke Stadium Keramat bagi memberi sokongan yang luar biasa. Stadium bertukar menjadi lautan hijau kuning. Sokongan tidak pernah mengecewakan.
“Namun Sang Kenari telah kecundang secara tragis. Hati amat pilu. Jantung terasa terjatuh dan tergolek. Keputusan akhir amat mengecewakan. Permainan (gameplay) dah cantik & cun. Pada pengamatan saya, ini adalah persembahan terbaik Sang Kenari dalam 4 perlawanan. Semakin nampak kelajuan, keserasian, intensiti, idea & good football,” luah Tan Sri Daud di laman Facebook rasmi.
Walaupun tersingkir dari saingan Piala FA, pemilik KDA FC itu masih percaya dengan kepintaran barisan kejurulatihan pasukan itu dalam membentuk sebuah skuad yang lebih baik pada masa akan datang. Ini kerana beliau melihat terdapat peningkatan dalam perlawanan menentang Penang semalam.
“Saya ingin percaya Sang Kenari mempunyai Coach yang bijak. Genius. Beliau akan terus membentuk pasukan Sang Kenari ke tahap yang lebih tinggi. Saya percaya para penyokong juga dapat melihat peningkatan dari segi taktikal, kecergasan, idea, kelajuan & gameball. Tapi masih belum sempurna lagi. Ada sahaja kelemahan & kesilapan,” luah Tan Sri Daud lagi.