Ikon bola sepak dunia, David Beckham tidak dapat menyembunyikan rasa seronoknya apabila berada di Malaysia hari ini.
Ketika ditemu bual oleh Stadium Astro, Beckham menceritakan perasaan terujanya untuk sekali lagi berada di Malaysia dan yang istimewanya, kali ini beliau menerima jemputan sebagai duta Adidas.
“Seronok berada di sini, di Kuala Lumpur semula, selepas beberapa tahun. Ini kali pertama saya ke sini sebagai duta Adidas. Dan ia adalah masa yang sangat istimewa untuk saya, Predator sentiasa menjadi but saya!”, ujar beliau dengan nada teruja.
Kedatangan bekas bintang Manchester United kali ini sebagai duta jenama kelengkapan sukan terkemuka, Adidas sempena Majlis World Of Predator Exhibition yang memaparkan sejarah 30 tahun but bola sepak keluaran Adidas yang berlangsung di The Exchange TRX pada petang Khamis.
Beckham kelihatan sangat ramah melayani ribuan peminat yang hadir ke majlis pameran ini dengan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk berswafoto bersama dan meminta tandatangan beliau.
Beckham juga sempat memeriahkan program Adidas Malaysia Girls Football Programme di sebelah pagi bertempat di Royal Selangor Club, Bukit Kiara. Turut serta adalah duta Adidas Malaysia, Safee Sali dan Steffi Sindhu.
Beliau sempat merakamkan perasaan teruja apabila melihat inisiatif daripada Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan juga Adidas untuk mengetengahkan lagi bakat bola sepak dalam kalangan wanita di negara ini.
Cuaca panas di pagi hari tidak menghalang legenda berusia 48 tahun untuk terlibat sama dalam sesi latihan pantas bersama para pemain melakukan latihan hantaran dan sepakan bola asas di sana.
Kenangan yang cukup manis itu bakal terpahat dalam jiwa buat para peserta dan para tetamu yang hadir menyaksikan David Beckham secara dekat.
Kehadiran David Beckham ke Malaysia kali ini hasil kerjasama Adidas harus dipuji setelah mendapat maklum balas dan respon yang positif daripada para peminat bola sepak tempatan melalui sambutan yang menggalakkan.