Advertisements
De Paula Berang Baling Botol, Tan Cheng Hoe Minta Beliau Bersabar
Dunia
MakanBola
FA Malaysia

Penyerang naturalisasi negara, Guilherme De Paula dikatakan berang selepas dikeluarkan pada minit ke-65 permainan. Pemain kelahiran Brazil ini sebelum itu diturunkan dalam aksi pertama Harimau Malaya sebagai kesebelasan utama.

Selepas sahaja dikeluarkan, De Paula dikatakan merenung tajam ke arah ekor Harimau Malaya yang berada di dalam stadium. Reaksi De Paula yang dilihat tidak berpuas hati dengan penyokong yang hadir telah menjadi bualan ramai pihak.

Tan Cheng Hoe yang mempertaruhkan De Paula dibahagian serangan telah tampil mengulas berkenaan insiden De Paula yang membaling botol ketika di bangku simpanan. Menurut editor ESPN, Gabe Tan di laman rasmi Twitter miliknya, Cheng Hoe menjelaskan De Paula sedikit kecewa kerana tidak dapat menjaringkan gol.

“Sebagai seorang jurulatih, saya rasa kita akan selesaikan perkara ini sebaiknya. De Paula telah memberikan yang terbaik dalam latihan dan sangat komited tetapi barangkali beliau kecewa kerana tidak mampu menjaringkan gol.”

Tambah Cheng Hoe, beliau percaya De Paula sudah cukup matang untuk menghadapi apa jua tekanan yang diberikan. Paula juga dikatakan sentiasa bersedia untuk perlawanan mendatang.

“Saya yakin De Paula cukup matang untuk mengawal situasi ini, dan saya berharap dia akan memberikan contoh terbaik kepada pasukan. Saya percaya dia bersedia untuk perlawanan seterusnya,” jelas Cheng Hoe.