Bintang skuad kebangsaan Indonesia yang kini beraksi bersama Suwon FC, Pratama Arhan mengalami debut yang mengerikan di Korea Selatan apabila hanya sempat beraksi untuk tempoh empat minit sahaja.
Arhan yang baru berhijrah dari kelab Jepun, Tokyo Verdy, dibawa masuk pada minit ke-76 ketika Suwon sedang berusaha mencari jaringan penyamaan selepas dibolosi di awal permainan dalam aksi menentang Jeju United semalam.
Namun begitu, debut Arhan hanya bertahan empat minit sahaja selepas beliau diperintahkan keluar padang kerana dilayangkan kad merah gara-gara melakukan kekasaran ke atas pemain lawan.
Jika diteliti kekasaran yang dilakukan ke atas pemain lawan, Pratama Arhan dilihat memijak kaki pemain lawan yang sedang melarikan bola.
Pada mulanya, tiada sebarang kad yang dilayangkan buat Arhan namun selepas pengadil meneliti Video Bantuan Pengadil (VAR), kad merah dilayangkan buat pemain berusia 22 tahun itu.
Perlawanan berakhir dengan kekalahan 0-1 buat Suwon FC sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat Jeju United.
Suwon FC kini berada di tangga ke-5 Liga K1 dengan mengumpul 21 mata selepas 14 perlawanan manakala Jeju United berjaya mendaki carta liga ke kedudukan ke-7 liga buat masa ini.