Detik pemain-pemain sabah meraikan kehadiran pemain sayap Selangor, Faisal Halim mengundang rasa sebak.
Kedua-dua pasukan bertemu di Likas namun kemenangan memihak kepada Gergasi Merah dengan keputusan 2-1.
Tumpuan peminat bagaimanapun terarah kepada tonggak berusia 26 tahun itu yang masuk sebagai pemain gantian sekitar minit ke-80.
Kemasukan bintang Harimau Malaya ini menerima tepukan gemuruh peminat di stadium yang menyaksikan penampilan kedua Faisal Halim sejak insiden yang menimpanya pada bulan Mei lalu.
Sejurus selepas tamat perlawanan, pemain Sabah dilihat menunggu di sisi padang dengan Faisal datang dan bersalaman dengan semua pemain.
Beliau juga turut disapa oleh pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee selain mendapat liputan meluas dalam kalangan peminat tuan rumah.
Sebelum ini, pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil turut mengesahkan bahawa Faisal telah mendapat kelulusan pakar perubatan pasukan untuk beraksi.