Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti teruja untuk kembali mendapatkan khidmat pemain tengah Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya.
Pemain berusia 30 tahun itu dipanggil saat akhir menggantikan pemain tengah JDT, Natxo Insa yang mengalami kecederaan.
“Zhafri Yahya, pemain berusia 30 tahun itu menggantikan Natxo Insa dari Johor Darul Ta’zim yang tidak dapat melapor diri.
“Hal ini selepas beliau disahkan menerusi laporan perubatan mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan AFC Champions League Elite 2024/25 menentang Ulsan HD pada 5 November 2024,” kata Pau Marti menerusi satu kenyataan FAM.
Pengendali kelahiran Sepanyol ini juga mengakui bahawa Zhafri layak untuk menerima panggilan dengan lebih kerap dan beraksi buat Malaysia.
“Zhafri sudah lama berada dalam skuad kebangsaan tetapi tidak memperoleh minit bermain. Saya minta maaf atas perkara itu dan saya juga memberitahunya bahawa beliau layak beraksi.
“Beliau (Zhafri) merupakan pemain yang dimahukan mana-mana jurulatih dalam pasukan. Zhafri juga sentiasa terbuka untuk membantu Harimau Malaya.
Pau Marti juga berharap dapat menurunkan pemain versatil ini sama ada bertemu Laos atau India.
“Saya harap kali ini, kita dapat memberikan beliau peluang untuk beraksi,” jelas Pau Marti ketika ditemui di Wisma FAM.
Malaysia akan menghadapi dua perlawanan Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Laos di Bangkok, Thailand pada 14 November dan menentang India di Hyderabad pada 18 November 2024.