Bekas penyerang Sri Pahang FC, Dickson Nwakaeme berharap pasukan lamanya itu akan membuat kemunculan semula dalam Liga Malaysia (Liga M).
Hasrat itu dizahirkan bekas penyerang Nigeria itu apabila diminta mengulas tentang Sri Pahang menarik diri untuk musim 2025/26.
Sri Pahang sah tidak beraksi dalam Liga Super musim depan. Perkara ini diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) semasa mengesahkan 13 pasukan yang akan beraksi di liga itu.
Pengurusan Tok Gajah sudah menyatakan hasrat mereka untuk menarik diri menerusi surat yang dihantar kepada MFL pada 16 Jun lalu.
Dickson mengakui merasa sedih apabila mendengar berita tersebut. Ini kerana salah satu hajatnya bila kembali ke Malaysia ialah melihat Sri Pahang beraksi di atas padang.
Pada masa sama, bekas penyerang Song Lam Nghe An FC (SLNA FC) itu percaya tempoh rehat itu dilihat peluang buat Tok Gajah membina semula kekuatan untuk kembali.
“Apabila saya kembali ke Malaysia selepas sekian lama, kemudian saya dengar Pahang sudah tiada. Saya fikir itu sesuatu yang menyedihkan bagi saya.
“Saya harap sesuatu boleh dilakukan agar Pahang kekal dalam liga. Dan saya harap tempoh ini hanya tempoh rehat buat Pahang. Adakalanya anda perlukan rehat.
“Apabila anda sudah tidak boleh berlawan lagi, anda akan berehat dan kembali dengan lebih kuat. Saya percaya tak lama lagi, Pahang akan kembali dengan lebih kuat,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Selain Sri Pahang, Dickson juga pernah beraksi untuk Kelantan FC. Beliau juga pernah mewakili Angers SCO, Aalborg BK, KuPS, Halmstad BK dan Daejeon Korail.