Didier Deschamps: Ini Bukan Aksi Persahabatan
MakanBola
Equipe de France

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menegaskan aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia antara pasukan itu dan England sebagai aksi penting buat kedua-dua pasukan itu.

Ini kerana pada hemat legenda Les Bleus itu, ini peluang buat anak buahnya dan The Three Lions untuk menutup kempen kejohanan dengan kemenangan.

Meskipun mengakui ini bukan perlawanan yang dimahukan kedua-dua pasukan, Deschamps melihat tempat ketiga sebagai misi merealisasikan matlamat terakhir Perancis dalam Piala Dunia.

“Saya ada tanggungjawab untuk perlawanan ini. Ini bukan perlawanan persahabatan. Ini (perlawanan) playoff tempat ketiga. Para pemain, staf (kejurulatihan) dan saya ada tanggungjawab untuk mencapai objektif terakhir ini.

“Ia kurang penting jika dibandingkan dengan final. England tak mahu hadapi perlawanan ini dan begitu juga dengan kita. Tetapi kita berada di sini.

“Kita mensasarkan matlamat untuk meraih tempat ketiga dan menjadikan matlamat akhir ini satu realiti. Kita ada tanggungjawab bila menyarung jersi itu,” katanya seperti dilaporkan TNT Sport.

Aksi ini juga dilabel aksi perpisahan buat Deschamps. Ini kerana beliau akan mengundur diri selepas tamat kempen Piala Dunia.

Meskipun mengetahui hakikat berkenaan, Deschamps kekal fokus dan mahu menamatkan tempohnya sebagai jurulatih Perancis dengan bergaya.

“Dalam kepala saya, saya tahu ini aksi terakhir saya (sebagai jurulatih Perancis). Saya tak nak sesiapa pun menangis. Pengakhirannya semakin dekat tetapi hidup perlu diteruskan,” tambahnya.

Perancis berharap dapat mengulangi kejayaan menewaskan England 2-1 dalam edisi 2022 untuk perlawanan ini.