Segar daripada pencapaian membantu Buriram United memenangi Thai League 1, bek tengah kebangsaan Dion Cools memastikan pemburuan treble mereka terus membara. Ini selepas Thunder Castle mara ke final Thai League Cup selepas mengalahkan PT Prachuap 1-0.
Dengan matlamat treble kini menjadi fokus, Masatada Ishii menurunkan barisan terkuat menentang tuan rumah. Ini termasuk Cools yang kembali mengisi slot bek tengah dan bergandingan dengan bek tengah tinggi lampai dari Iraq, Rebin Sulaka.
Sebaik sepak mula, Buriram mula mengasak pasukan tuan rumah. Kesungguhan mereka berhasil apabila mendahului pada minit ke-16 menerusi gol sendiri penjaga gol Prachuap, Chatchai Budprom.
Chatchai berusaha menyekat cubaan pemain sayap muda Thailand, Suphanat Mueanta daripada menjaringkan gol. Tetapi malangnya, penjaga gol itu tertolak bola ke dalam gawangnya sekaligus meletakkan pelawat di hadapan.
Dengan kedudukan 1-0 menjelang rehat separuh masa, Prachuap cuba bangkit pada separuh masa kedua. Walaupun memasukkan pemain gantian Apichart Denman dan Thirayu Banhan, benteng pertahanan Buriram diketuai Cools dan Sulaka memastikan gawang pelawat tidak dibolosi.
Sebaliknya, giliran Buriram pula melebarkan kelebihan ke atas The Killer Wasps. Suphanat mudah menyempurnakan hantaran Supachai Chaided untuk menewaskan Chatchai pada minit ke-77 sekaligus menjadikan kedudukan 2-0.
Perlawanan ini juga dianggap istimewa kerana Cools berdepan pemain negara yang beraksi dengan Prachuap, Junior Eldstal. Eldstal tampil sebagai pemain gantian pada minit ke-85.
Di sebalik pelbagai pertukaran yang dibuat jurulatih The Killer Wasps, Dusit Chalermsan, anak-anak buahnya gagal mengejar dengan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan ini membolehkan Buriram mara ke final yang bakal berlangsung pada 20 Mei ini. Kini, Thunder Castle bakal menanti sama ada BG Pathum United atau Ratchaburi sebagai lawan mereka di final.
Sekiranya Buriram berjaya menang baki dua final iaitu Thai FA Cup dan Thai League Cup, ia bukan saja musim paling berjaya untuk mereka. Tetapi ini juga membantu Cools menjadi pemain terbaik Malaysia di luar negara dengan pencapaian yang sukar diatasi oleh sesiapapun.