Kapten Harimau Malaya, Dion Cools kini dalam perjalanan ke Malaysia untuk menyertai kem latihan kebangsaan di Johor.
Pasukan kebangsaan kendalian Peter Cklamovski dijadualkan akan berkumpul bagi menjalani kem latihan bermula minggu ini menjelang aksi pertama Kelayakan Piala Asia menentang Nepal.
Seramai 27 pemain telah disenaraikan oleh Cklamovski untuk ke sesi latihan kali ini dengan 2 pemain yang berkelana di luar negara, Dion Cools dan Endrick Dos Santos turut dipanggil.
Menerusi catatan instastory terbaharu Dion Cools, kelihatan pemain berusia 29 tahun itu sedang dalam perjalanan untuk ke Malaysia apabila memuat naik foto di lapangan terbang.
”Tidak lama lagi” tulis Cools beserta emoji bendera Malaysia.

Bek kanan Buriram United ini dijangka bakal menjadi pemain utama pasukan kebangsaan di bawah kendalian Cklamovski di bahagian pertahanan apabila mampu untuk bertahan dan menyerang dengan baik
Malah, Cools juga berada di dalam prestasi terbaik bersama Buriram United apabila membantu The Thunder Castle mara ke peringkat suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE) minggu lalu.
Skuad Harimau Malaya kini akan berkumpul bagi melakukan persiapan rapi menjelang aksi pembuka tirai Kelayakan Piala Asia bertemu Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac ini.