Harimau Malaya mula mengatur langkah menghadapi cabaran Nepal pada 25 Mac ini dengan memanggil 27 pemain.
Senarai pemain yang dipanggil jurulatih Australia, Peter Cklamovski menyaksikan beberapa kejutan termasuk penampilan beberapa muka baru.
Antara muka baru dalam skuad Harimau Malaya kali ini ialah pemain pertahanan Selangor FC, Zikri Khalili.
Beberapa pemain yang tidak dipanggil untuk tugasan ASEAN Championship 2024 juga kembali tersenarai.
Antara nama yang kembali membarisi pasukan ialah Dion Cools, Natxo Insa, Afiq Fazail, Romel Morales, Arif Aiman Hanapi, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.
Cklamovski turut memilih mengekalkan beberapa tonggak yang beraksi dalam saingan ASEAN Championship 2024.
Antara yang dikekalkan ialah Paulo Josue, Endrick dos Santos, Safwan Mazlan, Haqimi Azim Rosli dan Stuart Wilkin.
Selain itu, Cklamovski turut mencipta sensasi dengan memanggil semula Faisal Halim, Nazmi Faiz Mansor, Mohamadou Sumareh, Shahrul Saad dan Quentin Cheng.
Faisal kembali tersenarai buat kali pertama sejak aksi menentang Oman pada Mac 2024. Nazmi dipanggil selepas kali terakhir mewakili Harimau Malaya pada September 2022.
Sumareh turut tersenarai selepas membawa nama negara di pentas Piala Asia 2023. Shahrul dan Quentin masing-masing kembali buat kali pertama sejak Mac 2024 dan Oktober 2023.
Malaysia bakal menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk aksi pertama kelayakan Piala Asia 2027.