Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasmi mengumumkan bahawa perlawanan pertama skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski bagi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. Perlawanan menentang Nepal itu dijadualkan pada Selasa, 25 Mac 2025, dengan sepak mula pada jam 10:00 malam.
Keputusan memilih venue di Johor ini dibuat susulan permohonan daripada Persatuan Bola Sepak Seluruh Nepal (ANFA) untuk menukar venue asal perlawanan tersebut. Ini berikutan kerja-kerja penyelenggaraan yang masih dijalankan di Stadium Dasharath, Kathmandu. Sebagai pertukaran, perlawanan timbal balik pada 18 November 2025 nanti akan berlangsung di Nepal.
FAM turut memaklumkan bahawa pemilihan Stadium Sultan Ibrahim sebagai gelanggang rasmi Harimau Malaya untuk perlawanan ini telah mendapat perkenan daripada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Venue ini juga dipilih sebagai simbol permulaan revolusi baharu skuad Harimau Malaya yang dicetuskan sendiri oleh baginda.
Tiket perlawanan mula dijual bermula hari ini, Khamis, 13 Mac 2025, pada jam 10:00 pagi. Harga tiket ditetapkan pada RM40 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun. Semua tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web www.tickethotline.com.my.
FAM berharap penyokong setia Harimau Malaya akan hadir beramai-ramai memberikan sokongan walaupun perlawanan berlangsung pada bulan Ramadan. Ayuh bersama-sama menyemarakkan semangat pasukan negara di Johor!