Tindakan pertahanan Buriram United, Dion Cools memujuk bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mencuri perhatian warga maya ketika aksi AFC Champions League Elite (ACLE).
Pada Selasa, JDT serta Buriram United bertemu dalam aksi timbal balik kedua di Stadium Sultan Ibrahim dengan kedua-dua pasukan turun memasang impian untuk meraih tiket ke suku akhir ACLE.
Kelibat Arif Aiman menjadi taruhan besar buat jurulatih JDT, Hector Bidoglio di bahagian sayap kanan sementara Buriram United pula menurunkan Dion Cools di posisi bek kanan.
Aksi berlangsung cukup sengit sepanjang tempoh 90 minit sebelum JDT terpaksa akur tumbang di laman sendiri hasil jaringan bintang muda Buriram United, Suphanat Muenta.
Kekecewaan jelas terpancar di wajah pemain, jurulatih serta penyokong JDT tatkala pasukan Harimau Selatan ini hanya selangkah bagi melakar sejarah baharu kelab mara ke suku akhir ACLE.
Menerusi satu rakaman tular di Tiktok, kelihatan kelibat Arif Aiman yang terduduk kecewa di atas padang apabila akur tersingkir perjalanan JDT di pentas Asia berakhir di pusingan 16 terbaik.
Tidak lama kemudian, Dion Cools yang juga kapten Harimau Malaya dilihat mendekati Arif Aiman sambil memujuk dan menepuk bahu pemain berusia 23 tahun itu untuk bangun bersama.
Tinjauan di ruangan komen menyaksikan warga maya memuji semangat kesukanan Cools yang tetap memberi sokongan buat rakan sepasukan di kem kebangsaan itu.
Walaupun tiada kelab dari Malaysia yang mara ke suku akhir ACLE kali ini, setidaknya Cools akan menjadi pemain tunggal negara yang akan beraksi di Arab Saudi itu nanti.