Dua Pemain Selangor Ke Piala Dunia
MakanBola
Selangor FC

Dua pemain Selangor FC, Mohammad Abualnadi dan Noor Al-Rawabdeh sah bakal beraksi di Piala Dunia 2026.

Ini selepas Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA) mengumumkan senarai akhir 26 pemain yang dipilih Jamal Sellami untuk kejohanan berprestij itu.

Jamal memilih senarai akhir pemain selepas menilai prestasi Al-Nashama dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Switzerland baru-baru ini.

Dua bekas pemain Selangor, Ali Olwan dan Yazan Al-Arab turut berada dalam senarai sama. Turut sama terpilih bekas pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mahmoud Al-Mardi.

Gandingan Ali dan penyerang Rennes, Mousa Al-Tamari dijangka menjadi pilihan Jamal sebagai sandaran gol pasukan itu. Ini selepas Yazan Al-Naimat berehat panjang akibat kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL) pada Disember lalu.

Skuad Al-Nashama sudah tiba di Amerika Syarikat pada 2 Jun lalu. Mereka akan mengharungi aksi persahabatan terakhir menentang Colombia pada 8 Jun.

Kempen Jordan dalam Kumpulan J bermula dengan menentang Austria pada 17 Jun di San Francisco. Ini disusuli aksi menentang Algeria pada 23 Jun dan Argentina pada 28 Jun.

Sekiranya Jordan berjaya mara lebih jauh dalam Piala Dunia, Selangor dijangka menerima ganjaran lumayan daripada FIFA.