Berikutan isu ketandusan jaringan, Penang FC mengambil langkah drastik dan difahamkan sedang menilai beberapa nama penyerang bagi memperkuat jentera serangan kelab utara tanah air itu.
Masalah di bahagian serangan Penang telah bermula sejak awal musim lagi apabila hanya sekadar mencetak satu gol daripada 4 aksi Liga Super dan di saingan Piala Fa yang menyaksikan kelab itu tersingkir di tangan Kedah semalam.
Perkara ini sememangnya memberikan kegusaran buat pengendali skuad Harimau Kumbang, Akmal Rizal bagi merencana pelan terbaik bagi mengharungi baki saingan liga dan kempen Piala Malaysia pula tidak lama lagi.
Laporan terkini daripada wartawan Astro Arena, Fadhirul Suhaimi mengatakan bahawa Akmal Rizal telah bertemu dengan pihak pengurusan bagi membincangkan mengenai kemasukan sekurang-kurangnya dua pemain serangan yang baharu.
Difahamkan juga, dua penyerang yang dibincangkan itu merupakan pemain import dari Asia sementara seorang lagi adalah penyerang tempatan yang bakal memperkuat pasukan setelah jendela perpindahan dibuka pada Ogos.
”Ketua Jurulatih Penang, Akmal Rizal sahkan beliau sudah berbincang dengan pihak pengurusan untuk bawa masuk seorang penyerang Import kuota Asia serta seorang penyerang tempatan ketika jendela perpindahan kedua Liga M yang akan dibuka bermula 26 Ogos depan,” tulis Fadhirul Suhaimi di laman X.
Dalam perkembangan yang sama, bekas pemain negara, Zaquan Adha sempat menitipkan pesan buat Akmal Rizal agar memilih pemain import yang tepat dan jangan sampai tersalah pilih ketika beliau menjadi panel bagi aksi Kedah-Penang.
Dalam aksi suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Darul Aman pada Jumaat, Penang FC terpaksa menerima hakikat tersingkir di tangan Kedah setelah terikat tanpa jaringan sekaligus membawa Sang Kenari mara dengan agregat 1-0.
Penang akan kembali memberikan tumpuan sepenuhnya dalam aksi Liga Super 2024/2025 yang akan bersambung minggu hadapan dengan satu lagi kelab utara, Perak FC menjadi lawan di Stadium Ipoh pada 13 Julai nanti.