Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) berdepan ujian berganda pada 11 Mac lalu.
Ini kerana pasukan itu kehilangan khidmat penolong ketua jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebelum perlawanan separuh akhir kedua MFL Challenge Cup menentang Penang FC.
Wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi memaklumkan bekas penyerang Harimau Malaya itu dilaporkan telah direhatkan oleh pengurusan pasukan Pantai Timur itu.
“Difahamkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli telah ‘direhatkan’ daripada tugasnya selaku pengendali Kelantan The Real Warriors (KTRW).
“Tiada kelibat Akmal Rizal di bangku simpanan KTRW untuk aksi separuh akhir ke-2 MFL Challenge Cup bertemu Penang pada Rabu,” katanya di X.
Selain kehilangan khidmat Akmal Rizal, Kelantan TRW juga mengucapkan selamat tinggal kepada saingan MFL Challenge Cup.
Ini selepas pasukan itu tewas 1-0 kepada Penang menerusi penalti Stefano Brundo. Ini membolehkan Sang Harimau Kumbang mara ke final dengan keputusan agregat 6-2.
Penang bakal berentap dengan finalis Piala FA, Sabah FC untuk merebut trofi MFL Challenge Cup. Sabah turut mara dengan menewaskan Perak FA 1-0.