Duo Selangor Teruja Bawa Jordan Ke Piala Dunia
MakanBola
Selangor FC

Dua pemain Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi mengakui gembira kerana berjaya membawa Jordan ke Piala Dunia buat kali pertama.

Jordan layak secara merit buat kali pertama dalam sejarah apabila menamatkan kempen kelayakan Kumpulan B di tangga kedua dengan 16 mata.

Meskipun mereka tewas 1-0 kepada Iraq dalam aksi terakhir kelayakan pada 11 Jun lalu, Al-Nashama tetap mara selepas meraih 16 mata.

Noor menyifatkan kejayaan ini cukup bermakna lebih-lebih lagi selepas beliau pulih sepenuhnya daripada kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).

“Separuh daripada proses pemulihan ACL saya dibuat di Jordan. Setiap hari, saya menerima kata-kata perangsang daripada penyokong setiap kali mereka melihat saya.

“Doa dan sokongan mereka memberi saya kekuatan untuk menyertai pasukan sebelum pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia bermula,” katanya kepada laman sesawang Merah Kuning.

Abualnadi yang menyertai Selangor pada pertengahan musim 2024/25 menyifatkan kejayaan Jordan sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.

“Layak ke Piala Dunia dan menjadi sebahagian daripada pasukan Jordan pertama yang layak sangat istimewa. Setiap pemain memiliki impian beraksi di Piala Dunia, ianya seperti mimpi menjadi kenyataan.

“Tambahan pula, melakar sejarah bersama rakan-rakan sepasukan yang hebat sememangnya satu pengalaman yang luar biasa. Saya amat bersyukur dengan sokongan semua orang,” katanya.

Jordan mengikut jejak Jepun, Iran, Korea Selatan, Australia dan Uzbekistan sebagai wakil Asia dalam Piala Dunia 2026.