Advertisements
E. Elavarasan & Bekas Pemain Korea Selatan Bergabung, Tubuhkan Akademi Bola Sepak
Komuniti
MakanBola
FA Malaysia

Penolong jurulatih skuad Harimau Malaya, E. Elavarasan terus menyumbang kepada pembangunan akar umbi bola sepak negara meskipun baru sahaja pulang daripada tugasan kebangsaan.

Ini selepas pelancaran akademi bola sepak beliau bersama bekas pemain Korea Selatan, Kim Do-heon yang dikenali sebagai Pusat Bola Sepak Global Kim Do-heon.

Elavarasan yang dilantik sebagai pengarah pusat akademi tersebut berkata, tujuan penubuhan akademi ini bagi membentuk para pemain terbaik yang bakal mewakil Malaysia suatu hari nanti.

”untuk lahirkan pemain terbaik di masa depan buat negara kita. Itu adalah sasaran kita”, katanya kepada Astro Arena.

Beliau juga berharap akademi yang dilengkapi fasiliti terbaik seperti padang tiruan ini dapat menarik minat ibu bapa untuk melepaskan anak-anak mereka bermain tanpa perlu bimbang mengenai isu keselamatan.

”Masa (dulu) itu di depan rumah, kita boleh main, kini (dengan) ada fasiliti macam ini, ibu bapa akan lebih tertarik untuk datang ke padang dan akan rasa lebih selamat (untuk anak-anak bermain).”

Tambahnya lagi, pemilihan padang tiruan ini akan memudahkan para pemain untuk berkumpul dan berlatih bersama sebelum turun merasai suasana sebenar perlawanan.

“Kita mula dengan padang rumput tiruan sebab senang nak kumpulkan para pemain, bila mereka dah bertambah baik, kita akan bawak ke padang dan rasai pengalaman bermain,” tambah bekas jurulatih skuad bawah 23 tahun negara.

Beliau sudah merangka beberapa kejohanan yang bakal disertai oleh para pemain muda ini mengikut kumpulan umur masing-masing.

“Banyak kejohanan yang kita sertai, kejohanan bawah 16 tahun dan bawah 17 tahun. Jadi, ada perlawanan kita main di padang, ada perlawanan kita main di padang tiruan.”

Akademi yang terletak ini di ibu negara ini merupakan kerjasama di antara E. Elavarasan dan Kim Do-heon yang paling pernah beraksi di Liga Malaysia sebelum ini.

Kim Do-heon pernah menyarung jersi Negeri Sembilan pada musim 2018 dan membuat 10 penampilan dan berjaya menyumbang dua bantuan jaringan.