Pemain pertahanan skuad kebangsaan Indonesia, Elkan Baggott secara rasmi telah membuat penampilan pertamanya bersama Ipswich Town dalam saingan EFL League One atau divisyen ketiga Liga Inggeris semalam.
Elkan Baggott telah diberi kepercayaan untuk menjadi pemain kesebelasan utama dalam perlawanan Ipswich Town menentang pasukan tuan rumah, Rotherham United. Lebih manis lagi, beliau beraksi penuh 90 minit permainan.
Dalam perlawanan tersebut, Ipswich terpaksa akur tunduk 0-1 kepada Rotherham United hasil jaringan tunggal Michael Smith.
Ini merupakan kali pertama Elkan beraksi bersama skuad utama Ipswich Town dalam saingan liga. Untuk rekod, pemain pertahanan tinggi lampai ini turut diberikan peluang untuk beraksi bersama pasukan utama dalam Piala EFL pada tahun 2020.
Elkan juga dikhabarkan terpaksa diturunkan kerana pasukan utama kehilangan khidmat dua tonggak utama di bahagian pertahanan tengah iaitu George Edmundson dan Cameron Burgess ekoran kecederaan.