Emmanuel Mbarga Tarik Minat Dua Kelab Liga Super
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dijangka berdepan cabaran untuk mengekalkan penjaring terbanyak mereka musim 2025/26, Emmanuel Mbarga.

Ini kerana penyerang Cameroon berusia 27 tahun itu dilaporkan berada dalam radar dua kelab Liga Super, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Negeri Sembilan FC. Khabar angin itu dikongsikan wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran.

Meskipun Kelantan RW berada dalam kedudukan terbaik untuk mengekalkan Mbarga, The City Boys dan Sang Rusa tetap berminat mendapatkan bekas penyerang Chainat FC itu.

“Emmanuel Mbarga, pemenang Kasut Emas Liga A1 Semi-Pro dengan 32 gol mungkin kekal bersama Kelantan Red Warrior.

“Tetapi khidmatnya dipantau oleh Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu hantaran di X.

KL City melihat Mbarga sebagai pengganti berpotensi buat pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid. Meskipun menjaringkan 14 gol musim ini, Safawi berstatus pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selain itu, dua peledak utama The City Boys iaitu Kpah Sherman dan Paulo Josue masing-masing hanya meledakkan tujuh dan lima gol dalam semua kejohanan.

Negeri Sembilan pula melihat Mbarga sebagai senjata tambahan di bahagian serangan. Ini kerana hanya dua pemain yang berjaya merekodkan gol sebanyak dua angka iaitu Joseph Esso dan Jovan Motika.

Esso dan Motika masing-masing meledakkan 12 dan 11 gol dalam semua kejohanan musim ini. Selain Mbarga, Negeri Sembilan juga dilaporkan berusaha mendapatkan penjaring kedua terbanyak Liga A1, Abdul Rahman Daud.