EPL
B/R Football
Advertisements

Arsenal memanfaatkan kelebihan di gelanggang sendiri untuk bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan musuh setempat London, West Ham United dalam perlawanan EPL di Stadium Emirates.

Sebaik sepak mula, Gunners mula mencari peluang menembusi pertahanan Hammers yang diterajui Craig Dawson dan Thilo Kehrer. Dan hasilnya, mereka menyangka telah mendahului menerusi rembatan cantik Bukayo Saka pada minit keempat selepas menerima hantaran Martin Odegaard. Tetapi ia dibatalkan selepas Saka didapati berada pada kedudukan ofsaid.

Tatkala Arsenal sibuk mengancam pertahanan West Ham, anak-anak buah David Moyes hampir memecah kebuntuan pada minit ke-10. Satu hantaran rendah daripada Jarrod Bowen membuatkan Gunners kelam-kabut dan memaksa penjaga gol Aaron Ramsdale dan bek tengah Gabriel bekerjasama mengeluarkan bola.

Advertisements

Pemain tengah Switzerland, Granit Xhaka kemudiannya menguji Lukasz Fabianski dua minit selepas itu menerusi satu rembatan kuat. Tetapi rembatannya berjaya ditangkap kemas bekas penjaga gol Gunners itu. Jentera serangan Arsenal tampak tumpul tanpa kelibat Gabriel Jesus dengan beberapa peluang terhidang seterusnya gagal dimanfaatkan anak-anak buah Mikel Arteta.

Hammers mendapat peluang keemasan mendahului apabila pengadil Michael Oliver menganugerahkan sepakan penalti pada minit ke-24. Ini selepas William Saliba didapati menerjah Bowen semasa melarikan bola ke gawang Arsenal. Sepakan penalti mudah disempurnakan pemain sayap Algeria, Said Benrahma bagi meletakkan West Ham di hadapan.

Said Benrahma West Ham Arsenal EPL Daily Express Sport EPL: Arsenal Tewaskan West Ham
Said Benrahma menyempurnakan penalti minit ke-26 bagi meletakkan West Ham di depan. Gambar: Daily Express Sport

Tersentak, Arsenal cuba bangkit. Dan sebelum rehat, Gunners menyangka mereka mendapat sepakan penalti selepas sepakan Odegaard didakwa terkena tangan bek kiri Aaron Cresswell. Bagaimanapun, selepas diminta memeriksa semula ulang tayang insiden tersebut oleh VAR, Oliver membatalkan keputusan penalti selepas bola Odegaard didapati terkena kepala Cresswell. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, Arsenal terus mencari gol penyamaan. Tetapi mereka bernasib baik apabila tidak dibolosi buat kali kedua pada minit ke-46 apabila Michail Antonio menerima umpanan bola dari sebelah kanan sebelum merembat ke arah gol Gunners tetapi berjaya ditepis Ramsdale.

Usaha Gunners memburu gol penyamaan akhirnya berhasil pada minit ke-53 menerusi Saka. Odegaard mahu merembat bola ke arah gawang West Ham tetapi bola terkena kaki Saka. Pemain muda England itu bijak mengawal bola sebelum menewaskan Fabianski.

Lima minit selepas itu, Arsenal mendahului menerusi pemain sayap Gabriel Martinelli. Bermula dari Saka, bola kemudiannya dilorongkan kepada Xhaka sebelum dihantar kepada pemain sayap Brazil itu, Martinelli bijak mencari ruang Fabianski sebelum menewaskan penjaga gol Poland itu untuk gol kedua tuan rumah.

Advertisements

Gunners menambah gol ketiga menerusi Eddie Nketiah pada minit ke-68. Ben White berjaya melepasi cabaran Benrahma sebelum menghantar bola kepada Odegaard. Pemain tengah Norway itu kemudiannya melorongkan bola kepada Nketiah sebelum dia membuat sepakan leret melepasi Fabianski.

Dengan perlawanan memasuki minit-minit terakhir, Arsenal tiada minat untuk menghentikan serangan ke arah kubu West Ham. Dan itu mengesahkan dominasi mereka pada babak kedua dan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan keputusan ini, Arsenal kekal mendahului EPL dengan kelebihan lapan mata dengan West Ham kekal di tangga ke-14. Tetapi jurang mata ini boleh berkurangan kepada lima mata sekiranya Manchester City berjaya menewaskan Leeds United pada 29 Disember.

Advertisements

Gunners bakal berdepan Brighton di Stadium Amex pada awal pagi 1 Januari. Manakala West Ham pula menerima kunjungan Brentford pada awal pagi 31 Disember.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram