Dunia
Premier League
Advertisements

Brighton & Hove Albion memanfaatkan kelebihan di gelanggang sendiri dengan menewaskan pasukan gergasi EPL, Liverpool di Stadium Amex hari ini.

Sebaik sepak mula, Seagulls mengasak pasukan pelawat. Dalam tempoh seminit, mereka dinafikan pertahanan Reds sebanyak dua kali.

Pada minit kelapan, sepakan deras Solly March ke arah gol berjaya dipantul keluar Trent Alexander-Arnold untuk sepakan sudut. Sepakan sudut yang diambil selepas itu cuba ditolak Alexis MacAllister ke arah gol tetapi dinafikan Alisson.

Advertisements

Liverpool yang menurunkan penyerang baru Belanda, Cody Gakpo sekali-sekala mengancam pertahanan Seagulls. Dan mereka hampir melakukannya pada minit ke-26 menerusi Alex Oxlade-Chamberlain tetapi berjaya dikeluarkan pertahanan tuan ruamh.

Gandingan March dan pemain sayap Jepun, Kaoru Mitoma terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Reds diketuai Joel Matip. Mitoma dua kali hampir membolosi gawang Reds pada minit ke-29 dan 39 tetapi kedua-dua percubaannya tersasar.

Sebelum babak pertama berakhir, Brighton dihadiahkan sepakan penalti selepas Alisson didakwa menjatuhkan March. Tetapi VAR membatalkan keputusan itu selepas mendapati penjaga gol Brazil itu tidak menyentuh kaki March dengan graduan akademi Seagulls itu berada pada kedudukan ofsaid.

Advertisements

Selepas rehat, kesungguhan anak-anak buah Roberto De Zerbi akhirnya berhasil menerusi gol March pada minit ke-47. MacAllister mencuri bola daripada Matip sebelum melorongkannya kepada Mitoma.

Pemain sayap Jepun itu kemudiannya melorongkan bola kepada March dalam kotak penalti untuk ditolak masuk ke gawang.

Enam minit selepas itu, Reds dibolosi lagi buat kali kedua. Evan Ferguson melorongkan bola kepada March sebelum melepaskan rembatan lencong tepat ke penjuru bawah gawang Liverpool.

Advertisements

Skuad Reds yang dibimbing Jurgen Klopp seakan hilang arah walaupun menurunkan ramai pemain utama. Ini memaksa bekas pengurus Borussia Dortmund itu memasukkan Harvey Elliott, Naby Keita dan pemain muda Scotland, Ben Doak bagi menyegarkan semula pasukan.

Tuan rumah terus memburu gol tambahan bagi menjadikan kedudukan mereka lebih selesa. Hasilnya, Brighton menambah gol ketiga menerusi bekas penyerang Manchester United dan Arsenal, Danny Welbeck pada minit ke-81.

Brighton Statman Dave EPL: Brighton 'Ayamkan' Liverpool
Pemain-pemain Brighton meraikan jaringan Danny Welbeck. Gambar: Statman Dave

Lontaran ke dalam Seagulls ditanduk March ke arah Welbeck. Graduan akademi United itu hanya memerlukan satu sentuhan untuk mengawal bola selepas melepaskan rembatan menewaskan Alisson.

Advertisements

Welbeck kemudiannya hampir menambah gol keempat pada minit ke-86 tetapi berjaya dinafikan Alisson. Liverpool cuba bangkit dan mencari gol saguhati tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan kemenangan ini, Seagulls memintas Liverpool ke tangga ketujuh liga dengan 30 mata. Manakala anak-anak buah Klopp pula berada di tangga kelapan dengan 28 mata, 10 mata di belakang musuh ketat Red Devils.

Untuk perlawanan EPL seterusnya, Reds berdepan Chelsea di Anfield pada 21 Januari. Manakala Brighton bertandang ke Stadium King Power untuk berdepan tuan rumah Leicester City pada hari yang sama.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram