EPL
Ben Jacobs
Advertisements

Chelsea bangkit selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam EPL dengan mengalahkan AFC Bournemouth di Stamford Bridge hari ini.

Sebaik sepak mula, Cherries mendapat peluang mendahului menerusi sepakan percuma Philip Billing. Bagaimanapun, sepakan yang diambil bekas pemain Huddersfield itu mudah ditangkap kemas penjaga gol Sepanyol, Kepa Arrizabalaga.

Minit-minit awal perlawanan menyaksikan anak-anak buah Graham Potter berdepan kesukaran menembusi pertahanan Bournemouth. Ini disebabkan pengurus Cherries, Gary O’Neil menggunakan formasi 5-3-2 dengan tujuan menyekat sebarang gerakan serangan ke arah kubu mereka.

Advertisements

Hal ini tidak dibantu apabila Blues mendakwa mereka sepatutnya dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-11 selepas pemain sayap Christian Pulisic ditarik oleh bek kanan lawan, Adam Smith. Bagaimanapun, pengadil Simon Hooper tidak menganugerahkan sepakan penalti kepada tuan rumah walaupun ulang tayang jelas menunjukkan Smith menarik pemain sayap Amerika Syarikat itu.

Ketidakadilan itu memarakkan lagi semangat Blues memburu gol. Dan hasilnya mereka di hadapan menerusi Kai Havertz pada minit ke-16. Bermula daripada Mason Mount, graduan akademi Blues itu melorongkan bola kepada Raheem Sterling sebelum dia menolak bola ke arah Havertz. Pemain Jerman itu mudah menolak bola menewaskan penjaga gol Mark Travers.

Mason Mount Chelsea Premier League EPL: Chelsea Mudah Tewaskan Bournemouth
Pemain-pemain Chelsea meraikan jaringan Mount pada minit ke-23. Gambar: Premier League

Tujuh minit selepas itu, giliran Mount pula mencipta nama sebagai penjaring. Denis Zakaria melarikan bola ke arah kotak penalti Bournemouth tetapi dikepung ramai pemain lawan. Ini memaksanya menolak bola ke arah Havertz sebelum pemain tengah Jerman itu menolaknya kepada Mount di luar kotak penalti. Mount melepaskan rembatan kencang yang melepasi jangkauan Travers untuk gol kedua tuan rumah.

Advertisements

Chelsea kemudiannya menyangka menambah gol ketiga menerusi Christian Pulisic pada minit ke-44. Tetapi sebaik bola menerjah jaring, wisel telah ditiup dengan sepakan percuma diberi kepada pasukan pelawat. Blues terus mengasak tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Chelsea mengekalkan penguasaan bola di sebalik cubaan Bournemouth untuk bangkit. Dan Mount hampir menambah gol ketiga pada minit ke-64 selepas membuat gerakan dari sebelah kiri tetapi rembatannya berjaya dinafikan Travers.

Sembilan minit selepas itu, sepakan sudut pendek membolehkan pemain gantian Cesar Azpilicueta membuat hantaran dari sebelah kanan. Umpanan bek kanan Sepanyol itu berjaya ditanduk Kalidou Koulibaly tetapi tandukannya sipi ke tepi gol pada minit ke-73.

Advertisements

Bournemouth hampir merapatkan jurang menerusi pemain gantian Ryan Christie pada minit ke-79. Kegagalan Zakaria mengawal bola mengakibatkan bola dilarikan ke kotak penalti Chelsea sebelum ia dilorongkan kepada Christie. Bekas pemain Celtic itu melepaskan rembatan tetapi ia mudah diselamatkan oleh Arrizabalaga.

Seminit selepas itu, Cherries mendapat sepakan sudut selepas hantaran kepada penyerang Dominic Solanke berjaya dikeluarkan pertahanan Blues. Sepakan sudut yang diambil berjaya ditanduk Lloyd Kelly tetapi tandukannya tersasar dan tidak mencemaskan Arrizabalaga.

Tiga minit kemudian, satu hantaran yang dibuat Jordan Zemura berjaya ditepis bekas penjaga gol Athletic Bilbao itu sebelum dikeluarkan pertahanan Chelsea. Bournemouth terus mengasak tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Advertisements

Chelsea kini menduduki tangga kelapan liga dengan Bournemouth pula menduduki tangga ke-14. Blues bakal berdepan Nottingham Forest pada tengah malam 2 Januari 2023. Manakala Cherries pula berdepan Crystal Palace pada 31 Disember.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram