EPL: Chelsea dan Liverpool Seri Di Stamford Bridge, City Tersenyum Lebar
Dunia
Chris Lee – Chelsea FC/Chelsea FC/Getty Images
Advertisements

Jika ditanya tentang pemenang perlawanan Chelsea-Liverpool semalam, ramai mungkin condong salah satu daripada kedua-dua pasukan. Tetapi apabila kedua-dua pasukan seri 2-2 pada akhir perlawanan, pemenang sebenar ialah pandahulu liga, Manchester City. Dengan kelebihan 11 mata di hadapan Liverpool, Citizens mempunyai peluang untuk mengekalkan kejuaraan liga musim lepas.

Hakikat ini diakui oleh bek tengah Virgil van Dijk dalam temubual pasca-perlawanan. Beliau berkata, “Ia amat sukar dipercayai. Ia merupakan satu jurang yang besar. Mereka (City) kini pilihan utama bergelar juara tetapi apa saja boleh berlaku. Malangnya, kami pernah berada di kedudukan mereka dan kami ada kelebihan di hadapan tetapi gagal dimanfaatkan sepenuhnya.

“Tiada yang mustahil. Kami akan fokus terhadap diri sendiri, Chelsea akan fokus terhadap diri mereka. Kami cuma perlu mendapatkan keputusan yang kami mahukan. Dapatkan keputusan, bermain dengan baik dan menang perlawanan. Nampak mudah tetapi ianya susah.”

Advertisements

Keputusan seri ini boleh saja berubah kepada kemenangan kepada Chelsea sekiranya Sadio Mane dibuang padang pada minit pertama perlawanan selepas menyiku kapten Blues, Cesar Azpilicueta. Tetapi pengadil Anthony Taylor memilih melayangkan kad kuning kepada penyerang Senegal itu. Bagi pengurus Thomas Tuchel, penjaga gol Edouard Mendy dan Azpilicueta, mereka percaya ia merupakan satu keputusan yang salah.

Bila ditanya media tentang insiden itu, jawapan bek kanan Sepanyol itu mudah, “Ia sememangnya kad merah.” Sementara Mendy yang kemudian berangkat ke Cameroon bersama Mane untuk mewakili Senegal dalam Kejohanan Negara-Negara Afrika berkongsi sentimen sama. Semasa ditemubual RMC Sport, bekas penjaga gol Rennes itu menambah, “Sadio mungkin saudara saya tetapi beliau sepatutnya dibuang padang pada minit pertama.”

Di ruang teknikal, Tuchel menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan berkenaan. Dan rasa marah bekas pengurus PSG itu semakin membara apabila Mane membuka jaringan untuk Liverpool pada minit kesembilan. 17 minit kemudian, giliran Mohamed Salah pula menambah derita Blues menerusi satu kuisan yang menewaskan Mendy. Barisan serangan Liverpool kelihatan lebih klinikal selepas menunjukkan prestasi mengecewakan dalam kekalahan menentang Leicester.

Advertisements

Tetapi isu kerapuhan benteng pertahanan terus menghantui Liverpool. Pada minit ke-42, pemain tengah Croatia Mateo Kovacic melakukan voli yang menewaskan penjaga gol Caoimhin Kelleher. Kelleher yang beraksi baik sepanjang perlawanan tidak mempunyai jawapan terhadap sepakan berbisa bekas pemain Real Madrid itu. Tiga minit kemudian, giliran Christian Pulisic pula menewaskan penjaga gol Wales itu selepas mendapat hantaran N’Golo Kante.

Pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus mengasak untuk mencari gol kemenangan. Pada minit ke-57, Salah cuba membuat sepakan lambung terhadap gawang Blues tetapi berjaya dinafikan Mendy. Sementara Kelleher pula berjaya menafikan cubaan jarak dekat Pulisic dan sepakan percuma Mason Mount. Dengan kedua-duanya jauh ditinggalkan City, Chelsea dan Liverpool tahu mereka memerlukan keajaiban untuk merampas gelaran juara daripada Citizens.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram