Gol ke-20 Erling Haaland dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah cukup membantu Man City menewaskan Tottenham Hotspur 1-0.
Spurs mahu meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Manchester United dan Ipswich Town. City pula mahu bangkit selepas kecundang 2-0 di tangan Liverpool.
Haaland kembali berada dalam kesebelasan utama The Citizens selepas berehat akibat kecederaan. Masalah kecederaan Tottenham Hotspur yang semakin reda membolehkan Ange Postecoglou menurunkan barisan terkuat.
Babak pertama menyaksikan Spurs hampir mendahului menerusi Wilson Odobert. Kelicikan bekas bintang Burnley itu untuk melakukan lambungan ke arah gol menyebabkan pertahanan City pantas mengeluarkan bola.
Gol yang dicari pelawat di Stadium Tottenham Hotspur muncul 11 minit selepas itu. Selepas berjaya menewaskan Pedro Porro, Jeremy Doku membuat satu hantaran yang mudah disempurnakan Haaland.
Spurs bernasib baik kerana gawang mereka tidak dibolosi buat kali kedua pada minit ke-27. Percubaan Savinho selepas menerima hantaran Doku hanya melepasi palang gol.
Tiga minit selepas itu, giliran Haaland pula menguji kecekapan penjaga gol tuan rumah, Gugliemo Vicario. Tolakan mudah penyerang Norway itu dinafikan Vicario.
City terus berusaha mencari gol tambahan tetapi kecekapan Vicario memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Tottenham Hotspur terus berusaha memberi tekanan ke atas kubu pertahanan City tetapi tidak berhasil.
Situasi ini mendorong Postecoglou memasukkan Dejan Kulusevski, Son Heung-min, Rodrigo Bentancur dan Pape Matar Sarr untuk mengubah momentum perlawanan.
Kevin Danso hampir membuka akaun jaringan bersama Spurs pada minit ke-60. Tandukan bekas bek tengah Southampton itu dinafikan penjaga gol City, Ederson.
Tottenham Hotspur terus memburu gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan The Citizens kembali berada dalam kelompok empat pasukan terbaik liga dengan 47 mata. Spurs pula di tangga ke-13 meskipun berkongsi 33 mata dengan Manchester United.
Kecekapan Ederson menafikan percubaan serangan Tottenham Hotspur diiktiraf Sofascore. Penjaga gol Brazil itu menerima markah 8.4, 0.6 mata di hadapan Porro.
Selepas ini, City mengalihkan fokus kepada aksi menentang Plymouth dalam saingan The Emirates FA Cup pada 2 Mac. Spurs pula bersiap sedia menentang AZ Alkmaar dalam Liga Europa UEFA (UEL) pada 7 Mac.