EPL: Gol Kevin De Bruyne Julang Man City Tewaskan Chelsea
EPL
Manchester City/Getty Images
Advertisements

Sebaik saja Kevin De Bruyne melepaskan sepakan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-70, Thomas Tuchel sudah tahu. Manchester City terus melebarkan jurang mata dengan pasukan-pasukan lain. Dan sekiranya trend ini berterusan, ini bermakna kejuaraan EPL akan terus kekal di Stadium Etihad untuk satu musim lagi.

Kedua-dua pasukan segar dari kemenangan dalam Piala FA (City) dan Piala Carabao (Chelsea). City yang mengutip kemenangan 4-1 ke atas Swindon dalam Piala FA memanggil semula Kyle Walker, John Stones, Jack Grealish dan Phil Foden dalam kesebelasan utama. Sementara Chelsea yang layak ke final Piala Carabao membawa masuk Marcos Alonso, Thiago Silva, N’Golo Kante, Christian Pulisic dan Hakim Ziyech.

Pada babak pertama, Citizens hampir berada di hadapan apabila bola hantaran Aymeric Laporte yang cuba ditolak keluar Kepa Arrizabalaga terkena kapten Cesar Azpilicueta. Bagaimanapun, ia tidak masuk dalam gawang kosong Chelsea. Chelsea pula membazirkan dua peluang keemasan menerusi Romelu Lukaku dan Christian Pulisic. Kerapuhan benteng Blues yang diasak City mengundang kerisauan Tuchel sehingga tamat babak pertama.

Advertisements

Pada separuh masa kedua, Chelsea menunjukkan permainan lebih kemas bagi mengatasi ancaman City. Citizens terus mengasak kubu Blues dengan sepakan percuma De Bruyne pada minit ke-64 berjaya ditampan Kepa. Melihat Ziyech dan Pulisic kurang berkesan, Tuchel memasukkan Calum Hudson-Odoi dan Timo Werner. Tetapi sebelum sempat dua pemain itu menunjukkan impak, De Bruyne menewaskan Kepa dengan sepakan berbisanya pada minit ke-70.

Chelsea berusaha untuk bangkit tetapi tidak dapat mengekalkan penguasaan bola dan diasak bertalu-talu oleh tuan rumah. Pada akhirnya, gol tunggal De Bruyne sudah cukup untuk membantu Manchester City 13 mata di hadapan Blues. City kini dalam kedudukan baik mempertahankan kejuaraan mereka. Chelsea dan Liverpool memerlukan keajaiban untuk mengejar dan memintas Citizens untuk perlumbaan merebut kejuaraan EPL.

Dalam temubual pasca-perlawanan, Tuchel berpuas hati dengan prestasi Blues kecuali di bahagian serangan. Beliau berkata, “Prestasi barisan serangan kami amat mengecewakan. Mereka tidak berada di posisi yang tepat, menunjukkan pemasaan yang buruk dan kerap kehilangan bola. Romelu Lukaku seharusnya menjaringkan gol tetapi beliau kehilangan banyak peluang baik termasuk peluang menjaringkan gol. Ya, Lukaku perlukan bantuan tetapi beliau sebahagian daripada pasukan, beliau harus menunjukkan prestasi lebih baik selepas ini.”

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram