EPL: Liverpool Berjuang Atasi Aston Villa
EPL
Liverpool FC
Advertisements

Juara EPL musim 2019/2020, Liverpool terpaksa bekerja keras mengalahkan tuan rumah Aston Villa bagi membolehkan mereka mendapat tiga mata penuh.

Sebaik sepak mula, Liverpool mula menyerang Villa dan memecah kebuntuan seawal minit kelima. Sepakan sudut yang diambil Andrew Robertson dikeluarkan tetapi berjaya disekat Trent Alexander-Arnold. Bek kanan England itu menghantar bola semula kepada bekas bek kiri Hull City itu sebelum menghantar bola kepada Mohamed Salah untuk disudahkan ke dalam gawang.

Tersentak, anak-anak buah Unai Emery cuba bangkit. Peluang terbaik untuk mereka menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-14 apabila Emi Buendia menghantar bola bahaya ke kotak penalti Reds. Malangnya, hantaran tersebut gagal disempurnakan pemain sayap Jamaica, Leon Bailey di mana sepakan pertamanya gagal menemui sasaran.

Advertisements

Sementara Darwin Nunez seakan tidak tahu mengapa sentuhan pertamanya terus mengecewakannya. Pada minit ke-18, penyerang Uruguay itu menerima hantaran rendah Alex Oxlade-Chamberlain tetapi ia gagal disempurnakan bagi meletakkan Liverpool 2-0 di hadapan.

Tetapi kegagalan Nunez ditebus Virgil van Dijk yang menjaringkan gol kedua perlawanan pada minit ke-37. Sepakan sudut Alexander-Arnold mencetuskan huru-hara dalam kalangan pertahanan Villa di mana ia terkena Salah sebelum melorongkan bola kepada bek tengah Belanda itu. Bekas bek tengah Celtic itu kemudiannya melakukan sepakan voli menewaskan Robin Olsen. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, Villa menggandakan asakan bagi menembusi gawang anak-anak buah Jurgen Klopp. Usaha keras mereka memburu gol akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-59 menerusi Ollie Watkins. Pertahanan Liverpool terlampau perlahan menyekat hantaran Douglas Luiz dan itu membolehkan bekas penyerang Brentford itu menanduk bola menewaskan Alisson.

Tatkala Villa sibuk memburu gol penyamaan, Liverpool membolosi gawang Olsen buat kali ketiga menerusi pemain Stefan Bajcetic pada minit ke-81. Nunez melarikan bola dengan pantas sebelum membuat satu hantaran jauh kepada pemain tengah Sepanyol itu. Bajcetic berjaya melepasi Olsen sebelum menolak bola melepasi kangkang bek tengah Villa, Tyrone Mings.

Advertisements

Anak-anak buah Unai Emery berusaha untuk bangkit tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Dengan kemenangan ini, Liverpool menduduki tangga keenam liga dan dipisahkan satu mata dengan Manchester United di tangga kelima. Manakala Aston Villa pula menghuni tangga ke-12 liga.

Liverpool bakal berdepan Leicester City untuk perlawanan EPL seterusnya di Anfield pada 31 Disember. Manakala Villa pula berdepan ancaman Tottenham Hotspur pada 1 Januari.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram