EPL: Liverpool Longlai Dikejutkan Bournemouth

Liverpool EPL AFC Bournemouth EPL: Liverpool Longlai Dikejutkan Bournemouth
AFC Bournemouth
Azim Noor @mohdazim45
10:24pm 11/03/2023

Sangkaan Liverpool bahawa kemenangan besar 7-0 ke atas Manchester United minggu lepas bakal mengubah musim mereka meleset sama sekali. Ini selepas Reds diaibkan pasukan yang menduduki kedudukan ke-18 liga, Bournemouth 1-0 di Stadium Vitality hari ini.

Babak pertama menyaksikan saingan seimbang membabitkan kedua-dua pasukan. Liverpool terlebih dahulu menguji Neto menerusi tandukan Virgil van Dijk pada minit kelima tetapi bola berjaya dikeluarkan daripada melintasi garisan gol oleh Jefferson Lerma.

Lima minit selepas itu, Alisson pula cemerlang menutup ruang Dango Ouattara daripada membolosi gawang Reds. Liverpool kemudiannya menyangka mendahului menerusi Cody Gakpo pada minit ke-13 tetapi ia dibatalkan selepas penyerang Belanda itu didapati ofsaid.

Dengan Ouattara menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Reds, Cherries tahu mereka dapat membolosi gawang Liverpool. Dan itu terjadi pada minit ke-28 apabila Philip Billing mudah menolak bola hantaran bekas pemain sayap Lorient itu untuk gol pertama tuan rumah.

Ouattara berjaya melepasi kawalan van Dijk sebelum melorongkan bola kepada Billing yang menewaskan Alisson. Pemain-pemain Liverpool menyangka pemain tengah Denmark itu berada pada kedudukan ofsaid tetapi VAR mengesahkan gol tersebut dikira.

Tersentak, Reds cuba bangkit mengejar. Tetapi Bournemouth pula naik angin apabila dinafikan sepakan penalti selepas Ibrahima Konate menjatuhkan Billing dalam kotak penalti. Bagaimanapun, VAR mengesahkan faul dibuat di luar kotak penalti.

Ketinggalan 1-0 semasa rehat, Liverpool cuba bangkit pada babak kedua. Dan mereka menyangka mendapat peluang melakukannya pada minit ke-68 selepas VAR mengesan bola tandukan Diogo Jota terkena tangan Adam Smith.

Mohamed Salah yang diberi amanah mengambil sepakan penalti pada minit ke-69 bagaimanapun hampa apabila sepakannya tinggi dan tersasar jauh.

Itu juga merupakan penalti pertama EPL yang gagal disempurnakan penyerang Mesir itu. Reds cuba mengejar tetapi kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini melonjakkan Bournemouth ke tangga ke-16 liga dengan Reds kekal di tangga kelima. Selepas ini, perlawanan Liverpool seterusnya ialah menentang Manchester City pada 1 April dengan Bournemouth pula menentang Aston Villa pada 18 Mac depan.