Kemarau kemenangan Man City berterusan apabila tewas 2-0 kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool di Anfield.
The Citizens semakin terdesak memburu kemenangan selepas diikat 3-3 oleh Feyenoord pada 27 November. Liverpool pula mahu meneruskan momentum kemenangan apabila menewaskan Real Madrid 2-0.
Luis Diaz dipilih mengetuai jentera serangan The Reds menggantikan Darwin Nunez. Pengendali City, Pep Guardiola pula membuat kejutan dengan menggugurkan Ederson dan memilih Stefan Ortega sebagai penjaga gol utama.
Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah mula memburu kelebihan gol awal. Dominik Szoboszlai hampir meletakkan Liverpool di hadapan seawal minit ketujuh tetapi rembatannya dinafikan Ortega.
Bek tengah Belanda, Virgil van Dijk seakan tidak percaya apabila tandukannya hanya mengenai tiang gawang The Citizens pada minit ke-11.
Penantian gol Liverpool berakhir menerusi Cody Gakpo seminit selepas itu. Bekas bintang PSV Eindhoven itu mudah menolak hantaran jauh Mohamed Salah ke dalam gawang City.
Tersentak, City cuba mendapatkan jaringan penyamaan. Malangnya, setiap usaha untuk merencana serangan kerap digagalkan barisan pertahanan Liverpool diketuai van Dijk.
Rico Lewis hampir menyamakan kedudukan buat The Citizens pada minit ke-39 tetapi percubaannya tersasar. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, City bernasib baik tidak ketinggalan 2-0 pada minit ke-56. Selepas berjaya memperdaya Ortega, Salah hampa apabila rembatannya melepasi palang.
Guardiola kemudiannya membuat dua pertukaran pemain dengan memasukkan Savinho dan Jeremy Doku. Pengendali Liverpool, Arne Slot pula memasukkan Nunez dan Jarell Quansah untuk menyuntik tenaga baru kepada tuan rumah.
The Citizens terus ditimpa malang apabila pengadil, Chris Kavanagh menganugerahkan sepakan penalti kepada The Reds. Ini selepas Diaz dijatuhkan Ortega dalam kotak penalti pada minit ke-77.
Penalti tersebut mudah disempurnakan Salah untuk gol ke-11 dalam liga musim 2024/25. Gol ini juga menebus kehampaan penyerang Mesir itu selepas gagal menyempurnakan penalti semasa menentang Real Madrid.
Situasi ini mendorong Guardiola memasukkan Kevin de Bruyne dan Jack Grealish untuk merapatkan juang gol dengan tuan rumah. De Bruyne hampir melakukannya pada minit ke-83 tetapi disekat penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher.
City terus berusaha mencari gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Liverpool kembali memiliki kelebihan sembilan mata di hadapan Arsenal dengan mengutip 34 mata.
The Citizens pula jatuh ke tangga kelima liga dengan 23 mata selepas tewas buat kali keempat. Sofascore memilih Salah sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.9.
Selepas ini, The Reds akan bertandang ke St. James Park untuk menentang Newcastle United pada 5 Disember. City pula menerima kunjungan Nottingham Forest pada hari yang sama.