Man City mencatat kemenangan selesa ke atas Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.
Setelah akur diikat seri berdepan Everton pada Khamis, Man City bertandang ke laman Leicester City dalam misi meraih 3 mata setelah hanya meraih satu kemenangan dalam 13 aksi terakhir.
Kesebelasan utama Man City dibarisi pemain-pemain seperti Erling Haaland, Bernando Silva dan Kevin De Bruyne tatkala Jamie Vardy diberi tugas besar mengemudi jentera serangan Leicester City.
Sebaik wisel sepak mula dibunyikan, City tidak membuang masa dengan melancarkan serangan awal ke arah pintu gol Leicester hasil percubaan Haaland, De Bruyne serta Kovacic.
Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai apabila pemain muda, Savinho menyambar bola muntah hasil rembatan kencang Phil Foden pada minit ke-21 untuk meletakkan pelawat di hadapan.
Tuan rumah berusaha mengawal penguasaan bola namun benteng pertahanan Man City berjaya mengekang asakan sehingga menyaksikan tiada tambahan gol dapat dihasilkan.
Kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan dengan kelebihan 1-0 memihak Man City.
Kembali dari rehat, anak didik Rudd van Nistelrooy sempat menghadirkan situasi cemas buat Man City apabila larian deras oleh Mavididi dan Buonanotte hampir memberikan gol.
Ketika rancak mengasak, gawang Leicester bocor bual kali kedua apabila Erling Haaland menanduk masuk jaringan buat Man City pada minit ke-74 berpunca dari hantaran Savinho.
Aksi di Stadium King Power berakhir dengan keputusan 2-0 buat Man City sekaligus menamatkan kemarau kemenangan dalam 5 aksi terakhir.
Saingan liga minggu hadapan menyaksikan Man City bakal menerima kedatangan West Ham United di Etihad manakala Leicester City pula akan berkunjung ke laman Aston Villa.