Tindakan perancang tengah Man City, Phil Foden menarik seluar pemain Everton menjadi perhatian ketika terikat seri dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Khamis.
Man City turun menerima kunjungan Everton dengan tuan rumah hanya mencatatkan satu kemenangan dalam 12 aksi termasuklah ketika tumpas di tangan Aston Villa minggu lalu.
Sementara pasukan Everton pula berada dalam momentum positif apabila berjaya mencuri satu mata ketika menentang dua kelab gergasi dari London, Arsenal dan Chelsea sebelum ini.
Segalanya tampak baik buat City apabila berjaya mencetak gol pertama perlawanan pada minit ke-14 menerusi jaringan Bernando Silva yang menyudahkan hantaran oleh Jeremy Doku.
Kelebihan itu tidak bertahan lama setelah pelawat berhasil meledak jaringan penyamaan daripada Iliman Ndiaye yang menewaskan Stefan Ortega di pintu gol City pada minit ke-36.
Ketika City terdesak mencari gol di minit akhir, tindakan Phil Foden menarik seluar pemain Everton, Armando Broja pula menjadi perhatian ramai dan tular dalam kalangan peminat bola sepak.
Insiden tersebut berlaku pada minit ke-93 bilamana Broja berjaya membawa bola melepasi Foden sebelum pemain England itu yang sudah terjatuh menarik seluar Broja dari arah belakang.
Perlawanan di Stadium Etihad tersebut berakhir dengan keputusan seri 1-1 sekaligus meneruskan rentetan aksi tanpa kemenangan oleh pasukan bimbingan Pep Guardiola itu.
Man City kini menduduki tangga ke-7 carta liga dan bakal berdepan pendatang baharu, Leicester City di laman lawan selepas ini.