Hasrat Liverpool memburu slot kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) terjejas sama sekali. Ini selepas anak-anak buah Jurgen Klopp dimalukan Manchester City 3-1 di Stadium Etihad hari ini.
Sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan bermula seimbang. Tetapi Reds terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-17 menerusi penyerang berbisa Mesir, Mohamed Salah.
City menyangka gol tersebut akan dibatalkan selepas Diogo Jota didakwa menghalang Manuel Akanji daripada mendapatkan bola sebelum Salah menjaringkan gol. Tetapi VAR mengesahkan gol tersebut sekaligus membakar semangat Citizens untuk mendapatkan kemenangan.
City kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-27 menerusi Julian Alvarez. Pemain sayap England, Jack Grealish membuat satu hantaran rendah yang mudah disempurnakan penyerang Argentina itu menewaskan Alisson.
Dengan kedudukan 1-1 semasa rehat, Liverpool menyangka mereka masih ada peluang untuk mencuri tiga mata dari Stadium Etihad. Belum sampai seminit separuh masa kedua, Kevin de Bruyne meletakkan City di hadapan.
Bermula dari Alvarez, penyerang Argentina itu melorongkan bola kepada Riyad Mahrez. Bekas pemain sayap Leicester City itu kemudiannya menghantar bola yang disempurnakan pemain perancang Belgium itu ke gawang Reds.
Tujuh minit kemudian, kapten Ilkay Gundogan memastikan City selesa mendahului 3-1. Bola sepakan Alvarez cuba dipintas bek kanan Reds, Trent Alexander-Arnold tetapi hanya singgah di kaki pemain Jerman itu sebelum memastikan gawang Alisson dibolosi lagi buat kali ketiga.
Melihat anak-anak buah Pep Guardiola selesa di hadapan, Klopp segera membuat empat pertukaran. Ini termasuk memasukkan Darwin Nunez menggantikan Salah bagi mengetuai jentera serangan Liverpool.
Malangnya, giliran Grealish pula mencetak nama sebagai penjaring. Bekas kapten Aston Villa itu mudah menolak hantaran semula de Bruyne bagi memastikan Liverpool pulang hampa ke Anfield.
Kemenangan ini membolehkan City yang berada di tangga kedua merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga, Arsenal kepada tujuh mata. Sementara Liverpool pula kekal di tangga keenam dengan 43 mata.
Dengan pesaing-pesaing slot UCL lain mempunyai kelebihan satu atau dua perlawanan, sebarang kelebihan yang dinikmati Liverpool ketika ini akan hilang sekiranya mereka meraih kemenangan.
Selepas ini, City akan berdepan Southampton di Stadium St Mary pada awal pagi 9 April. Manakala Reds pula bakal berdepan Chelsea di Stamford Bridge pada 5 April ini.