EPL
Manchester United
Advertisements

Man Utd memanfaatkan kelebihan di gelanggang sendiri apabila menundukkan pasukan yang berada di zon penyingkiran EPL, Nottingham Forest dalam perlawanan liga hari ini di Old Trafford.

Sebaik sepak mula, United mengasak kubu Forest dan hampir berada di depan pada minit keenam. Penyerang England, Marcus Rashford melepaskan rembatan ke arah gol pelawat tetapi terhalang oleh pertahanan Forest. Bek kiri Tyrell Malacia menyepak bola muntah ke arah gol melepasi penjaga gol Wayne Hennessey tetapi bola melantun terkena tiang.

Marcus Rashford Fabrizio Romano EPL: Man Utd Mudah Atasi Nottingham Forest
Marcus Rashford meraikan jaringan pertama bersama Tyrell Malacia. Gambar: Fabrizio Romano

Usaha Red Devils membolosi gawang pelawat akhirnya berhasil pada minit ke-19 menerusi Rashford. Christian Eriksen yang mengambil sepakan sudut yang rendah dengan perhatian tertumpu kepada Raphael Varane. Tetapi larian berhelah bek tengah Perancis itu memudahkan penyerang United itu melepaskan satu rembatan kuat tanpa dikawal sesiapa menewaskan Hennessey.

Advertisements

Tiga minit selepas itu, giliran Anthony Martial pula mencipta nama sebagai penjaring. Selepas berjaya mengeluarkan bola dari kotak penalti United, Malacia menghantar bola kepada Bruno Fernandes sebelum pemain tengah Portugal itu menghantar bola jauh kepada Rashford. Rashford boleh saja menyepak tetapi melorongkan bola kepada rakan penyerangnya itu untuk gol kedua tuan rumah.

Forest cuba bangkit mengejar tetapi Antony hampir menambah derita mereka menerusi percubaan pada minit ke-38. Tetapi percubaannya itu langsung tidak mencemaskan bekas penjaga gol Wolves itu.

Sebaliknya, Forest menyangka mereka telah merapatkan kedudukan menerusi tolakan mudah bek tengah Willy Boly pada minit ke-40 yang terhasil dari satu sepakan percuma. Malangnya, gol tersebut dibatalkan oleh VAR selepas Boly didapati berada pada kedudukan ofsaid. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, Forest cuba bangkit dan hampir merapatkan jurang menerusi Orel Mangala pada minit ke-50 tetapi percubaannya terkena sebelah tepi jaring. Sebaliknya, Antony sekali lagi menguji gawang mereka pada minit ke-56 tetapi berjaya ditepis oleh Hennessey.

Tiga minit selepas itu, Martial pula menguji kecekapan Hennessey. Selepas menerima satu hantaran menarik daripada Fernandes, penyerang Perancis itu meledakkan satu rembatan ke arah Hennessey tetapi berjaya ditolak keluar.

Penjaga gol Wales itu terpaksa bekerja keras apabila Red Devils sekali lagi menguji kecekapannya pada minit ke-67. Pemain gantian Alejandro Garnecho melorongkan bola kepada Donny van de Beek sebelum menghantarnya kepada Rashford. Walaupun rembatan Rashford lemah, Hennessey terpaksa menolak bola keluar menggunakan kakinya.

Advertisements

Forest terus menggandakan asakan tetapi pertahanan United kental bertahan. Ini ditambah dengan kemasukan pemain gantian Fred dan Harry Maguire bagi memastikan benteng tuan rumah tidak dibolosi. Fred kemudiannya menyumbat gol ketiga pada minit ke-87 bagi menamatkan sisa perjuangan Forest. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini membolehkan United merapatkan jurang dengan Tottenham Hotspur yang berada di tangga keempat liga kepada satu mata. Sementara Forest pula berada di tangga ke-19 selepas Wolves merekodkan kemenangan ke atas Everton dua hari lepas.

Perlawanan EPL seterusnya menyaksikan Red Devils bakal berdepan Wolves pada 31 Disember. Manakala Forest pula bakal berdepan satu lagi pasukan gergasi, Chelsea di City Ground pada 2 Januari 2023.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram