Manchester City berjaya mengalahkan Wolverhampton Wanderers di Molineux sekaligus merampas kedudukan pendahulu liga.
Dengan pendahulu liga, Arsenal hanya beraksi pada Ahad ini, ini peluang terbaik bagi juara bertahan EPL itu kembali ke puncak sebagai pendahulu.
City mendahului seawal minit pertama menerusi Jack Grealish selepas menyudahkan hantaran cantik Phil Foden.
Penyerang Norway, Erling Haaland menambah jaringan pasukan pelawat pada minit ke-16. Ini merupakan gol ke-11 bekas penyerang Borussia Dortmund itu dalam EPL.
Wolves semakin tertekan apabila Nathan Collins dibuang padang oleh pengadil Anthony Taylor pada minit ke-33. Ini selepas pemain pertahanan itu melakukan terjahan merbahaya terhadap Grealish.
Separuh masa kedua menyaksikan tuan rumah cuba bangkit. Tetapi Foden menambah derita Wolves menerusi jaringan cantik pada minit ke-69.
Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat wisel perlawanan.
City akan menerima kunjungan musuh setempat, Manchester United untuk perlawanan EPL seterusnya pada 2 Oktober ini.