Manchester United bangkit mengikat Everton 2-2 untuk meraih satu mata berharga dalam saingan Premier League di Stadium Goodison Park.
Rasmus Hojlund, Bruno Fernandes dan Joshua Zirkzee mengetuai jentera serangan pasukan manakala De Ligt, Harry Maguire serta Mazraoui memperkuatkan barisan pertahanan United.
Everton pula menurunkan bekas pemain United, James Garner bersama-sama Idrissa Gueye untuk mengemudi barisan tengah pasukan.
Beto mencetak nama selaku penjaring pertama perlawanan pada minit ke-19 setelah menyempurnakan bola daripada Doucoure.
Abdoulaye Doucoure terus cemerlang apabila menambah gol kedua Everton pada minit ke-33 permainan sekaligus menambah tekanan kepada pasukan pelawat.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan Everton mendahului Manchester United dengan jaringan 2-0.
United terpaksa menunggu hingga minit ke-71 untuk meraih gol pertama menerusi gol hebat daripada Bruno Fernandes.
Memasuki minit ke-80, Manuel Ugarte berjaya menyamakan kedudukan untuk United apabila menjaringkan gol hasil daripada situasi sepakan percuma daripada Bruno Fernandes.
Everton diberikan sepakan penalti pada masa tambahan namun ulang tayang VAR menyaksikan pengadil menarik balik sepakan penalti tersebut.
Perlawanan tamat dengan kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 sekaligus membawa pulang satu mata berharga.
United kini berada di tangga ke-15 liga dengan mengumpul 30 mata manakala Everton berada di tangga-12 dengan 31 mata.
United seterusnya akan melawan cabaran Ipswich Town manakala Everton akan melawan Brentford bagi aksi saingan liga.