EPL: Manchester United Menang 3-1, Ukir Senyuman Rangnick
Dunia
Peter Powell/EPA
Advertisements

Selepas permainan suram yang ditampilkan di St James Park beberapa hari lepas, barisan pemain Manchester United tahu mereka perlu bangkit. Justeru, perlawanan menentang Burnley di Old Trafford semalam merupakan peluang terbaik untuk menebus kehampaan. Sebagai tambahan, hadiah hari lahir ke-80 kepada pengurus legenda United, Sir Alex Ferguson.

Enam pertukaran dibuat Ralf Rangnick dengan Edinson Cavani, Luke Shaw dan Jadon Sancho dipanggil semula ke kesebelasan utama. Burnley pula memanggil khidmat bekas penjaga gol Wolves, Wayne Hennessey sebagai pengganti Nick Pope dengan Aaron Lennon diberi kemunculan pertama dalam tempoh tiga bulan.

Burnley terlebih dahulu mengasak menerusi Chris Wood tetapi tandukannya tidak mengenai sasaran. Penyerang veteran Cristiano Ronaldo sepatutnya membuka tirai jaringan untuk tuan rumah. Tetapi malangnya, penyudah bekas pemain Sporting Lisbon itu tidak menjadi.

Advertisements

Ini mendorong pemain tengah Red Devils, Scott McTominay memberi tunjuk ajar bagaimana hendak menjaringkan gol. Pada minit kelapan, pemain tengah Scotland itu menjaringkan gol pertama pasukan menerusi sepakan dari luar kotak penalti. Dengan jaringan tersebut, ia juga merupakan jaringan pertama United dalam tempoh 15 minit pertama perlawanan EPL musim ini.

19 minit kemudian, giliran graduan akademi Manchester City Sancho pula menunjukkan impak. Selepas menerima hantaran Shaw, beliau menggelecek seorang pemain Burnley sebelum membuat percubaan ke arah gawang. Bola sepakannya terkena kaki kapten Clarets, Ben Mee sebelum masuk ke gawang. Dengan keputusan 2-0, United semakin selesa di hadapan.

Sepakan-sepakan jarak jauh McTominay terus menjadi duri dalam daging benteng Burnley. Pada minit ke-35, sepakan jarak jauh beliau berjaya dinafikan Hennessey tetapi terkena palang. Peluang itu segera direbut Ronaldo untuk menolak bola masuk ke gawang yang terbuka. Ini merupakan gol kelapan buat bekas pemain Juventus itu.

Advertisements

Bagaimanapun, di sebalik ketajaman barisan serangan, kerapuhan benteng pertahanan masih bikin Rangnick pening kepala. Buktinya, kesilapan hantaran gandingan Harry Maguire, Eric Bailly segera dimanfaatkan Lennon yang berlari ke gawang United sebelum menewaskan penjaga gol David de Gea. Begitupun, Rangnick bernasib baik ia tidak mencetuskan kebangkitan Burnley di separuh masa kedua.

Bukan sekali Rangnick menekankan soal benteng kebal dan tidak dibolosi oleh pihak lawan. Ketika ini, United hanya merekodkan satu perlawanan tanpa bolos daripada 14 perlawanan di Old Trafford. Tetapi menang tetap menang dan ia jauh lebih baik daripada keputusan seri dengan Newcastle sebelum ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram