EPL: Manchester United Terduduk Di Tangan Nottingham Forest
MakanBola
Manchester United
Sponsors

Hasrat Manchester United meraih kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama musim ini musnah apabila tewas kepada Nottingham Forest.

United berharap dapat membalas dendam kekalahan 3-2 di tangan lawan sama pada Disember 2024. Forest pula memburu kemenangan agar dapat menghambat Arsenal yang menduduki tangga kedua.

Ad

Pengendali Forest, Nuno Espirito Santo menurunkan Taiwo Awoniyi sebagai pengganti Chris Wood. The Red Devils pula meletakkan Joshua Zirkzee di bahagian hadapan.

Penyokong Forest di City Ground ceria apabila bekas pemain sayap United, Anthony Elanga membuka tirai jaringan pada minit kelima.

Ad

Elanga membuat larian solo ke arah kotak penalti pelawat. Meskipun cuba dihalang beberapa pemain, pemain berusia 22 tahun itu melepaskan rembatan yang menewaskan Andre Onana.

Ad

Tersentak, United yang dibimbing Ruben Amorim mula mengasak Forest untuk memburu gol penyamaan. Bruno Fernandes hampir menyamakan kedudukan dua minit selepas itu tetapi dinafikan Matz Sels.

Ad

Forest terpaksa membuat dua pertukaran awal pada minit ke-37 akibat kecederaan yang menimpa Ola Aina. Nuno memasukkan Alex Moreno dan Morato menggantikan Aina dan Danilo.

United terus memberi tekanan kepada tuan rumah tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Amorim memasukkan Rasmus Hojlund untuk bergandingan dengan Zirkzee di bahagian serangan.

Sels sekali lagi menjadi penyelamat apabila berjaya menafikan tandukan bekas bintang Real Madrid, Casemiro pada minit ke-48.

Bekas bintang Chelsea, Mason Mount hampir mencipta impak segera pada minit ke-80. Dua minit selepas masuk sebagai pemain gantian, percubaan beliau sedikit tersasar.

Harry Maguire nyaris memastikan United meraih satu mata pada minit akhir perlawanan. Malangnya, percubaan leret beliau berjaya dikeluarkan Murilo sebelum sempat melintasi garisan gol.

Tindakan pantas Murilo memastikan Forest terus menghambat Arsenal dengan 57 mata, empat mata di belakang pasukan utara London itu. The Red Devils kekal di tangga ke-13 dengan 37 mata, dua mata di belakang Crystal Palace.

Sofascore memilih Murilo sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.3. Beliau mengatasi cabaran Fernandes yang meraih 8.0 mata.

Selepas ini, United berdepan ujian sukar apabila bertemu musuh tradisi, Manchester City di Old Trafford pada 6 April. Forest juga berdepan ranjau berliku apabila menentang Aston Villa pada hari yang sama.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments