Advertisement
EPL: Newcastle United Bangkit ‘Rantai’ Liverpool
EPL
MakanBola
Liverpool FC

Liverpool keciciran mata buat kali kedua dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila diikat Newcastle United 3-3 di St. James Park.

Selepas meraih kemenangan ke atas Manchester City, The Reds mahu mengekalkan kelebihan mereka sebagai pendahulu liga. The Magpies pula mahu kembali mendapatkan rentak kemenangan selepas kali terakhir melakukannya pada 10 November lalu.

Alexander Isak kembali memperkuat jentera serangan Newcastle. Khidmat penyerang berbisa Mesir, Mohamed Salah terus ditagih Arne Slot untuk merobek gawang tuan rumah.

Separuh masa pertama menyaksikan The Magpies hampir mendahului menerusi Sandro Tonali seawal minit kedua. Rembatan pemain tengah Itali itu berjaya dinafikan penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher.

Pemain tengah Argentina, Alexis MacAllister hampir meletakkan The Reds di hadapan pada minit ke-15. Malangnya, rembatan deras beliau hanya mengenai tiang meskipun penjaga gol Newcastle, Nick Pope sudah tewas.

Kesungguhan Newcastle memburu gol akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-35. Isak melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang menewaskan Kelleher.

Tiga minit selepas itu, Liverpool bernasib baik mereka tidak ketinggalan 2-0. Kesilapan hantaran yang dibuat Joe Gomez direbut Anthony Gordon tetapi rembatannya pantas dinafikan Kelleher.

Kecekapan penjaga gol Ireland itu memastikan kedua-dua pasukan hanya terpisah satu gol sehingga rehat.

Bersambung pada separuh masa kedua, Liverpool tampil lebih garang. Curtis Jones mudah menyempurnakan hantaran Salah untuk mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-50.

Keceriaan kem The Reds tidak bertahan lama apabila Gordon kembali meletakkan Newcastle di hadapan 12 minit selepas itu. Selepas berjaya mengatasi Gomez, bekas pemain sayap Everton itu mudah menewaskan Kelleher.

Empat minit kemudian, Liverpool makin cemas apabila Isak menyumbat gol ketiga The Magpies. Walau bagaimanapun, gol tersebut kemudiannya dibatalkan VAR atas kesalahan ofsaid.

Situasi ini mendorong Slot memasukkan Trent Alexander-Arnold, Luis Diaz dan Dominik Szoboszlai sebagai pemain gantian. Percaturan jurulatih Belanda itu membuahkan hasil apabila Salah mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-69.

Penyerang Mesir itu terus menjadi duri dalam daging kepada Newcastle. Salah kemudiannya membantu Liverpool mendahului pada minit ke-83 menerusi rembatan rendah yang menewaskan Pope.

Tatkala penyokong The Reds menyangka pasukan itu akan membawa pulang tiga mata, Fabian Schar kembali menceriakan St. James Park. Schar memastikan kedua-dua pasukan terikat 3-3 menerusi gol pada minit ke-88.

Keputusan ini menyaksikan Liverpool kekal menerajui EPL dengan 35 mata, tujuh mata di hadapan Arsenal dan Chelsea. Newcastle pula memintas Manchester United untuk menduduki tangga ke-10 liga dengan 20 mata.

Sumbangan Salah sepanjang perlawanan diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mendapat markah 9.1, 0.8 mata di hadapan Isak dan Gordon.

Selepas ini, Newcastle akan menentang Brentford pada 7 Disember. Liverpool pula akan bertandang ke Goodison Park pada hari yang sama untuk menentang musuh setempat, Everton.