Aksi tumpuan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini telah menyaksikan Manchester United kecundang lagi di tangan Tottenham
Setelah dimalukan oleh Crystal Palace dalam aksi terakhir, Manchester United turun dengan misi membawa pulang 3 mata apabila hadir ke laman Tottenham di utara London.
Sementara Tottenham yang berada di tangga ke-15 carta EPL pastinya ingin memperbaiki kedudukan liga sekaligus memintas Manchester United yang hanya dua mata di atas.
Bintang Korea Selatan, Son Heung-min diberi mandat untuk memakai lilitan kapten Tottenham tatkala Manchester United pertaruh khidmat Patrik Dorgu dan Diego Dalot di bek sayap.
Seperti dijangka, kubu United dibolosi terlebih dahulu seawal minit ke-12 menerusi James Maddison yang mudah menolak bola ke gawang hasil tangkapan kurang kemas Andre Onana.
Hasrat United bagi mendapatkan jaringan penyamaan hampir menjadi kenyataan namun percubaan terbaik dimiliki pemain sayap, Alejandro Garnacho gagal disudahkan dan skor kekal.
Separuh masa pertama tamat, Tottenham Hotspurs 1-0 Manchester United.
Kembali dari rehat, Tottenham tampak selesa mengawal bola tatkala pelawat pula beberapa kali dihampakan oleh hantaran kurang kemas hingga hilang penguasaan di kawasan sendiri.
Usaha keras Tottenham dan juga United untuk mencari lebih banyak gol selepas itu menemui jalan buntu meskipun cuba membawa masuk tenaga tambahan dari bangku simpanan.
Aksi di utara London berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Tottenham Hotspurs.
Keputusan ini bukan sahaja memberikan kekalahan ke-12 buat Manchester United, malah turut menolak kedudukan anak didik Ruben Amorim jatuh ke tangga ke-15 carta liga.
Saingan EPL minggu hadapan bakal menemukan Tottenham dan pasukan di zon penyingkiran, Ipswich Town sementara Manchester United akan bertandang ke Goodison Park bagi bertemu Everton