Advertisement
EPL: Tottenham Tambah Derita Chelsea, Pecah Rekod 5 tahun
EPL
MakanBola
Premier League

Chelsea terus merudum di bawah kepimpinan pengurus Graham Potter. Kali ini, mereka tewas lagi kepada musuh setempat London, Tottenham Hotspur dalam satu-satunya perlawanan EPL di Stadium Tottenham Hotspur.

Babak pertama menyaksikan Spurs mendominasi jiran mereka itu. Dan malang hampir menimpa Blues apabila Hakim Ziyech dilayangkan kad merah oleh pengadil Stuart Attwell sebelum rehat separuh masa selepas didakwa menumbuk muka Emerson Royal.

Bagaimanapun, selepas disuruh memeriksa semula insiden di monitor oleh VAR, Attwell kemudiannya membatalkan kad merah tersebut. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Spurs menggandakan asakan dan mendahului pada minit ke-46 menerusi pemain muda Oliver Skipp. Skipp melepaskan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan Kepa Arrizabalaga di mana bola terkena palang sebelum melepasi garisan gol.

Tanpa Thiago Silva mengetuai pertahanan mereka, pertahanan Chelsea goyah diasak barisan serangan Tottenham diketuai Harry Kane. Kane yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Spurs menambah jaringan pada minit ke-82 dengan menolak masuk tandukan Eric Dier.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini merupakan kemenangan pertama Spurs ke atas Blues dalam tempoh lima tahun.

Dengan kekalahan ini, Chelsea kekal di tangga ke-10 dengan 31 mata. Sementara Spurs memintas Newcastle United yang tidak beraksi pada minggu ini ke tangga keempat liga.

Selepas ini, Chelsea perlu bangkit atau berdepan potensi menjadi mangsa seterusnya Leeds United pada 4 Mac. Manakala Tottenham pula berdepan Wolverhampton Wanderers di Molineux pada hari yang sama.