Advertising
EPL: Wolves Tumbangkan 10 Pemain Manchester United
MakanBola
Manchester United FC

Manchester United terpaksa akur tumpas di tangan Wolves dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal pagi Jumaat.

Setelah dimalukan Bournemouth di Old Trafford minggu lalu, Manchester United bertandang ke laman Wolves yang ketika ini menerima sentuhan pengurus baharu dari Portugal, Vitor Pereira.

United turun dengan formasi kegemaran Ruben Amorim 3-4-3 dengan Noussair Mazraoui dan Diogo Dalot berperanan di bahagian sayap tatkala barisan pemain Wolves diketuai oleh Matheus Cunha.

Ad

Turun dengan jersi berwarna putih, United tampak berusaha keras untuk memburu jaringan awal menerusi gerakan yang digerakkan oleh Amad Diallo dan Bruno Fernandes.

Tuan rumah turut mengambil peluang untuk menguji pintu gawang United yang dikawal oleh Andre Onana dengan siri percubaan oleh Nelson Semedo dan Andre dari jarak jauh.

Ad
Ad

Diogo Dalot hampir meletakkan The Red Devils di hadapan hasil rembatan dari luar kotak penalti sebelum penjaga gol Wolves, Jose Sa tampil cemerlang menepis percubaan itu.

Ad

Separuh masa pertama tamat, Wolves 0-0 Manchester United.

Bersambung babak kedua, malang menimpa United apabila Bruno Fernandes dilayangkan kad kuning kedua di minit ke-47 akibat kekasaran yang dilakukan ke atas Nelson Semedo.

Seminit kemudian, Wolves membuka tirai jaringan menerusi tandukan Strand Larsen sebelum pengadil menafikan gol itu kerana posisi penyerang tersebut dalam keadaan ofsaid.

Kelebihan seorang pemain berjaya dimanfaatkan oleh Wolves untuk akhirnya mencetak gol pertama pada minit ke-58 hasil sepakan penjuru Matheus Cunha yang terus menerjah jaring.

Tekanan hebay mula dirasai di kem United dengan Amorim melakukan lima pertukaran di jentera tengah dan serangan tatkala Wolves berusaha mempertahankan kelebihan satu jaringan.

Di masa tambahan, penyerang Korea Selatan, Hwang Hee-chan melengkapkan malam gemilang buat Wolves dengan jaringan kedua buat tuan rumah untuk menghukum United.

Aksi di Stadium Molineux berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Wolves.

Kekalahan ini menyaksikan Manchester United terus jatuh ke tangga ke-14 liga dengan 22 mata selepas 18 aksi manakala Wolves pula terkeluar dari zon penyingkiran untuk berada di tempat ke-17.

Ujian seterusnya buat Manchester United adalah berdepan Newcastle United di gelanggang sendiri sementara Wolves akan berkunjung ke utara London bagi bertemu Tottenham Hotspur.