Era Lionel Scaloni Di Argentina Bakal Berakhir
MakanBola
Seleccion Argentina

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni memaklumkan tempohnya sebagai jurulatih pasukan itu akan berakhir pada tahun hadapan.

Perkara itu dikongsikan beliau dalam sidang media pascaperlawanan final Piala Dunia antara La Albiceleste dan Sepanyol pada Isnin.

Scaloni memaklumkan beliau akan terus membimbing Argentina sehingga Disember ini. Selepas itu, beliau akan berhenti dan mahu menggunakan tempoh tersebut untuk berehat.

“Saya akan terus bertugas sehingga Disember sebagai ketua jurulatih Argentina. Setelah itu, saya akan berkemungkinan meninggalkan tugas ini.

“Saya perlu berehat dan berhenti sekarang,” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.

Scaloni turut memaklumkan beliau akan menggunakan baki tempoh yang ada untuk memulihkan kembali semangat anak buahnya dan bangkit daripada kekalahan di pentas final.

“Perkara penting ialah mengekalkan semangat dan perasaan ini dalam kalangan pasukan dan warga Argentina. Saya bangga dengan perkara itu,” ujarnya.

Argentina terlepas peluang mempertahankan kejuaraan Piala Dunia apabila tewas 1-0 kepada Sepanyol dalam masa tambahan. Ferran Torres menjadi wira La Roja dengan mencetak gol dalam tempoh berkenaan.

Dua figura berpotensi menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) sebagai pengganti Scaloni. Dua figura itu ialah legenda Inter Milan, Walter Samuel dan bekas tonggak import Johor Darul Ta’zim (JDT), Pablo Aimar.

Ini kerana kedua-duanya bukan saja menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan beliau yang menjulang Piala Dunia dan Copa America. Malah, Aimar dan Samuel cukup masak dengan taktikal beliau jika AFA mahu meneruskan kesinambungan legasi Scaloni.